KAHERAH – Mahkamah Mesir hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas bekas Presiden, Mohamed Morsi kerana pembabitannya dalam rusuhan di penjara serta serangan terhadap pihak berkuasa pada 2011.
Mahkamah itu bulan lalu sudah menjatuhkan hukuman mati terhadap Morsi serta lebih 100 defendan lain terdiri daripada pengikut Ikhwanul Muslimin.
Hakim mengekalkan keputusan itu hari ini, selepas mahkamah berunding dengan mufti besar Mesir, yang berperanan sebagai penasihat dalam menterjemah undang-undang kerajaan Islam.
Terdahulu, mahkamah sama yang menghukum Morsi, mengenakan hukuman penjara kepadanya atas tuduhan mengintip untuk pergerakan Hamas Palestin, Syiah Hizbullah di Lubnan dan Iran.
Keputusan hari ini itu masih boleh dirayu.
Ketua tentera dan kini Presiden, Abdel Fattah Al-Sisi pada 3 Julai 2013 menggulingkan Morsi dan pimpinannya, dan sejak itu tindakan keras dibuat terhadap penyokongnya.
Ulama Islam terkenal, Yusuf Al-Qaradawi yang kini menetap di Qatar, antara individu dijatuhi hukuman sama oleh mahkamah, biarpun dibicarakan tanpa kehadiran sebelum ini. -AFP