KOTA KINABALU – Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah menyanjung tinggi peranan dan pengorbanan malim Gunung Kinabalu dalam mencari dan menyelamat pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu dalam kejadian gempa bumi pada Jumaat lalu.
Ketuanya Yamani Hafez Musa berkata Pemuda BN negeri menyifatkan mereka sebagai wira sejati yang wajar diberi penghargaan dan pengiktirafan oleh kerajaan, rakyat dan pelbagai pihak yang lain.
“Malim Gunung Kinabalu yang terlibat dalam operasi itu telah mempertaruhkan nyawa mereka demi membantu menyelamatkan pendaki yang terkandas dan membawa turun mereka yang cedera. Kita amat terhutang budi kepada malim Gunung Kinabalu yang juga lebih dikenali sebagai ‘Unsung Heroes’.
“Pemuda BN Sabah menghargai keberanian, kemahiran dan ketangkasan wira-wira berkenaan dalam misi menyelamat di laluan yang terhalang oleh bongkahan-bongkahan batu. Mereka telah melaksanakan tugas yang amat penting
dalam usaha menyelamat ramai pendaki yang terkandas di laluan yang terhalang oleh bongkahan batu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yamani Hafez berkata ada antara malim gunung itu terdiri daripada ketua Pemuda UMNO cawangan dan anggota Pemuda UMNO Ranau seperti Rashidi @ Sidut merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kundasang dan Azli Donald ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Muhibbah di Ranau.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dalam usaha pencarian, terutamanya malim gunung yang banyak berkorban bagi membantu mangsa gempa bumi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mendengar taklimat mengenai bencana itu di Ranau semalam juga menyifatkan malim gunung terbabit sebagai ‘unsung heroes’ yang telah melakukan tugas kerja yang terbaik.
Beliau berkata kerajaan akan memberi penghargaan terhadap jasa, usaha dan komitmen mereka dalam membantu pasukan penyelamat.
Sebanyak 250 malim gunung berdaftar di bawah Persatuan Malim Gunung Kinabalu.
Yamani Hafez berkata Pemuda BN Sabah yang menyambut baik cadangan kerajaan untuk memberi penghargaan khas dan sumbangan kepada malim gunung yang terlibat, mencadangkan kerajaan memberi pengiktirafan dengan menyerap Malim Gunung sebagai Emergency Mountain Rangers (EMR) atau Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) sebagai persiapan menghadapi sebarang kejadian bencana yang tidak diingini di masa akan datang.
“Memandangkan mereka tahu setiap inci permukaan dan kawasan laluan ke puncak Gunung Kinabalu. Mereka akan dibayar elaun bulanan dan diberi latihan dan peralatan penyelamat yang lengkap seperti yang dicadangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (yang merupakan anggota Parlimen Ranau) Datuk Dr Ewon Ebin,” katanya.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lepas (5 Jun) itu turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Setakat semalam (Ahad), 16 orang disahkan terkorban akibat gempa bumi itu manakala dua lagi mangsa masih belum ditemukan.- BERNAMA