KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi tempoh sehingga tujuh hari kepada anak syarikatnya, Mara Inc. untuk memberikan keterangan dan laporan bertulis berhubung isu pembelian hartanah di Melbourne, Australia.
Akhbar Australia Dakwa Mara Terlibat Dalam Penipuan Hartanah
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, pihaknya kini sedang menjalankan penyiasatan audit dalaman sejak dua bulan lalu yang bukan sahaja melibatkan Mara Inc. sebaliknya anak-anak syarikat mereka yang lain juga.
“Mara beri masa tujuh hari kepada MARA Inc. beri penjelasan bertulis dan dalam masa 14 hari, Mara akan buat majlis mesyuarat khas bagi membincangkan dan meneliti satu persatu mengenai perkara ini dan langkah-langkah yang akan diambil selepas itu,” katanya dalam sidang media di Bangunan Mara, di sini hari ini.
Annuar turut menyatakan Mara sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berwajib bagi menyiasat wujudnya dakwaan rasuah dalam pembelian bangunan Dudley House yang digunakan untuk menempatkan 115 penerima biasiswa Mara yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Monash.
“Mara akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak berwajib untuk menjalankan penyiasatan secara menyeluruh dan tiada siapa yang akan dilindungi seperti apa yang dinyatakan Perdana Menteri semalam.
“Bagi pihak kami, kami akan teruskan usaha-usaha penyiasatan dalaman menerusi Unit Intergriti Mara dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Penegahan Rasuah Malaysia yang mengetuai proses siasatan tersebut,” katanya.
Dakwaan Korupsi Libatkan Pegawai MARA Akan Disiasat
Annuar malah turut menghargai laporan daripada akhbar Australia yang memberikan satu maklumat berguna buat mereka bagi menyiasat mengenai ketelusan pembelian hartanah tersebut.
“Perkara ini sesuatu di luar pengetahuan kita dan kita berpendirian dalam hal ini sekiranya ada unsur rasuah kita akan ambil tindakan.
“Saya sendiri tak tahu kononnya harga bangunan itu A$17 juta, baru sekarang saya dengar,” katanya mengulas mengenai isu harga hartanah tersebut.
Selain itu, Annuar juga berkata pihaknya akan memikirkan apakah tindakan selanjutnya yang akan diambil sekiranya terdapat mana-mana pegawainya terlibat dalam salah laku proses pembelian terbabit.
“Kami di Mara meletakkan integriti di tahap paling tinggi dan selepas majlis mesyuarat khas, kita akan bincangkan langkah-langkah yang akan diambil,” katanya lagi.
Menurut Annuar, pembelian apartmen lima tingkat itu adalah mengikut prosedur ditetapkan oleh kerajaan yang mana ia perlu mendapat persetujuan daripada Kementerian Luar, Kementerian Kewangan dan Majlis Ekonomi yang dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum ini, akhbar Australia, The Age melaporkan Mara Inc. telah membayar pihak pemaju apartmen itu sebanyak A$4.7 juta (RM13.68 juta) lebih daripada nilai sepatutnya.
Laporan itu menyatakan bahawa pemaju dan usahawan dari Malaysia pada awalnya menjual apartmen tersebut dengan harga A$17.8 juta, sebelum meningkatkan nilai hartanah itu kepada A$22.5 juta (RM63.5 juta) secara tiba-tiba.
Tambahan A$4.7 juta itu dikatakan dibayar untuk khidmat nasihat profesional dan yuran perundingan yang tidak wujud. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHAR