BAYANGKAN makanan yang digunakan dalam masakan harian dikeluarkan oleh kilang yang langsung tidak menjaga serta mementingkan kebersihan tetapi memakai label HALAL pada bungkusan produk mereka?
Memang menjijikkan! Itulah hakikat sebenar keadaan dalam sebuah kilang yang memproses serta membungkus produk asam jawa, tepung jagung dan tepung kastard di Bagan Serai, Perak ketika diserbu pagi kelmarin.
Serbuan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Parit Buntar itu mendapati  keadaan premis yang agak gelap itu sangat kotor di mana lantainya berair dan berbau busuk, bumbung kilang bocor, peralatan kilang serta rak penyimpanan bahan mentah juga berkarat.
Premis tersebut diarah ditutup serta-merta selama 14 hari bermula kelmarin dan KPDNKK Cawangan Parit Buntar bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah merampas produk asam jawa serta tepung jagung bernilai RM14,000.
Apa yang lebih mengejutkan, produk yang telah dikeluarkan oleh kilang itu disahkan menggunakan loga halal yang tidak dapat pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk).
Menurut Ketua KPDNKK Cawangan Parit Buntar, Nasir Mohamad, semasa pemeriksaan dijalankan empat anggotanya, mereka terkejut apabila mendapati keadaan serta persekitaran premis itu sangat kotor dan menjijikkan.
“Saya segera memaklumkan perkara itu kepada PKD Kerian dan meminta membuat pemeriksaan segera terhadap kondisi kebersihan kilang tersebut.
“Manakala pemilik kilang yang berusia 62 tahun gagal mengemukakan bukti menunjukkan logo halal yang digunakan mendapat pengesahan Jakim atau Jaipk,†katanya kepada sumber, semalam.
Nasir juga berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian sampel produk makanan yang dikeluarkan kilang itu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
Ianya untuk memastikan sama ada kualiti produk yang dikeluarkan oleh kilang itu tercemar akibat kondisi kebersihan yang teruk.
Jika disahkan tercemar, KPDNKK tidak teragak-agak untuk mengarahkan kesemua produk keluaran kilang yang sudah beroperasi lebih 20 tahun itu, ditarik balik daripada pasaran tempatan dan antarabangsa.
– MYNEWSHUB.CC
SUMBER: Sinar Harian