KUALA LUMPUR – Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah memberi kebenaran kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC Sementara 2009 untuk melanjutkan tempoh sehingga Oktober ini untuk mengadakan pemilihan semula parti itu.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata parti itu menerima surat kebenaran daripada RoS hari ini untuk mengadakan pemilihan semula mulai Julai hingga Oktober ini.
Menurutnya, surat itu diambil sebagai pengesahan oleh RoS untuk CWC Sementara 2009 mengendalikan proses pemilihan semula parti itu. “Kami telah menulis surat kepada RoS sebelum ini untuk memohon tempoh lanjutan bagi mengadakan pemilihan semula parti dan hari ini mereka telah memberikan persetujuan.
“Dalam surat itu, ia menyatakan CWC hendaklah patuhi segala arahan yang diarahkan kepada parti sebelum ini,” kata Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama media di sini.
Menurut RoS pada 9 Februari lepas, MIC sepatutnya mengadakan pemilihan semula untuk semua jawatan seawal April hingga Julai ini. Pada Selasa lepas, Dr Subramaniam mengumumkan proses pemilihan semula akan bermula bulan depan dengan pemilihan 3,700 ketua cawangan di seluruh negara.
Pencalonan untuk ketua cawangan akan diadakan pada 10 hingga 12 Julai ini diikuti pemilihan peringkat cawangan seminggu selepas itu.
Pada 5 Disember tahun lepas, RoS mengisytiharkan pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC serta beberapa pemilihan peringkat bahagian pada November 2013 sebagai tidak sah kerana terdapat penyelewengan.
Susulan keputusan itu, RoS menasihati MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan agung tahunannya sehingga isu itu diselesaikan dan memberi tempoh 90 hari untuk mengadakan pemilihan semula itu. – BERNAMA