KUANTAN – Kapal tangki MT Orkim Harmony yang dirampas oleh lapan lanun warga Indonesia sejak 11 Jun lalu, tiba pada 7.30 pagi Sabtu, lewat lima jam daripada waktu ia dijadualkan tiba di Pelabuhan Kuantan di sini, berikutan mengalami masalah enjin.
Panglima Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) Laksamana Muda Datuk Azhari Abd Rashid berkata kapal milik syarikat Magna Meridian Sdn. Bhd. yang membawa 21 anak kapal itu tiba di Pelabuhan Kuantan dengan diiringi sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Handalan.
“Pada mulanya kapal MT Orkim Harmony dijangka merapat ke pelabuhan pada pukul 2.30 pagi.
“Namun, disebabkan menghadapi masalah enjin, ia kemudian hanya sampai ke pelabuhan pada pukul 7.30 pagi ini,” katanya kepada pemberita di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, dekat sini, hari ini.
Petugas media yang dimaklumkan tentang perkara tersebut mula berkumpul di Pelabuhan Kuantan seawal jam lima pagi lagi, namun tidak dibenarkan menghampiri tempat kapal itu berlabuh.
Keadaan itu menyebabkan, jurugambar daripada pelbagai agensi terpaksa mengambil gambar dari jarak jauh sehingga ada yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan hasil kerja yang terbaik.
Sebaik tiba di pelabuhan, sepasukan angggota pihak berkuasa yang lengkap bersenjata dan bertopeng dipercayai Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang merupakan pasukan elit dari TLDM kelihatan memasuki kapal berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.
Selain itu, anggota unit forensik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, wakil kedutaan Indonesia serta sebuah ambulans turut kelihatan memasuki kawasan kapal itu berlabuh di Dermaga Petronas.
Difahamkan kesemua anak kapal akan menjalani ujian pemeriksaan serta diambil keterangan bagi mengesan ‘tali barut’ yang terlibat dalam kejadian tersebut sebelum masing-masing dilepaskan.
Sehingga pukul 1.30 tengah hari ini, tinjauan Bernama mendapati kesemua anak kapal tangki tersebut masih belum keluar dari kawasan dermaga berkenaan dan dipercayai masih berada di dalam kapal itu.
Sementara itu, Azhari mengesahkan lapan lelaki bersenjata yang ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam di Pulau Tho Chu 6.30 pagi Jumaat lepas ketika menaiki bot kecemasan MT Orkim Harmony adalah lanun yang merampas kapal itu pada 11 Jun lalu.
Katanya, perkara itu disahkan sendiri oleh tukang masak kapal tangki MT Orkim Harmony, Mawit Matin, 46 tahun; setelah ditunjukkan gambar kesemua lanun terlibat ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
“Beliau (Mawit) telah ditunjukkan gambar lanun itu dan beliau sahkan lanun-lanun itu yang berada di atas kapal.
Mengulas mengenai proses membawa pulang penjenayah berkenaan ke Malaysia untuk tujuan pendakwaan, Azhari berkata ia akan uruskan oleh APMM dalam masa terdekat.
Azhari dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan lanun yang merampas kapal tangki yang membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta itu ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan merupakan sindiket yang berpengalaman.
Katanya, perkara itu berdasarkan perancangan dan persediaan yang dilakukan oleh kumpulan perompak tersebut untuk merampas MT Orkim Harmony, termasuk menukar cat dan nama kapal tangki itu bagi mengelak dikesan.
Kapal tangki yang membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar terputus komunikasi dengan pangkalan pada 8.57 malam di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor pada 11 Jun lepas.
Pada 18 Jun, kapal itu berjaya dikesan telah dirampas dan ditukar nama asalnya ‘Orkim Harmony’ kepada ‘Kim Harmon’.
Azahari berkata, usaha mengesan kapal tangki berkenaan telah dilakukan dengan menggunakan 29 aset udara dan laut milik Malaysia, Indonesia dan Australia meliputi kawasan seluas lebih 500,000 batu nautika.
Beliau menambah operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan pada pukul 7 pagi, 12 Jun lalu tidak menemui sebarang petunjuk sehingga MT Orkim Harmony dikesan oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia di Teluk Siam pada 17 Jun lalu. – BERNAMA