KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada gandingan perenang berirama, Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee yang menyumbang emas pertama Malaysia di Sukan SEA ke-28, Singapura.
Najib menyampaikan ucapan itu menerusi catatan terkini di akaun Facebook dan Twitter miliknya hari ini.
Gandingan perenang itu menjuarai kategori teknikal duet dan rutin bebas, di Pusat Akuatik OCBC di Singapura dengan mencapai kelebihan tipis 1.0731 mata untuk mengetepikan wakil Singapura, Stephanie Chen-Crystal Yap.
Katrina Ann-Zylane mengumpul 75.3436 mata dalam acara rutin teknikal dan menambah 75.5667 mata dalam final rutin bebas untuk mengumpul sejumlah 150.9103 mata berbanding 149.8372 mata oleh peserta tuan rumah. – BERNAMA