KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan mengarahkan semua ahli parti supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan baharu PAS yang memenangi pemilihan parti semalam.
Kata beliau, ahli perlu memberi sokongan itu supaya satu kerjasama berpasukan baharu yang mantap dan berjamaah dapat dibentuk bagi menjulang Islam di negara ini.
Beliau turut menegaskan, calon yang kalah termasuk bekas pimpinan PAS sebelum ini wajib tidak kecewa dan terus memberi sumbangan kepada PAS kerana itu dituntut oleh Islam.
“Buat mereka yang tidak dipilih, tiada istilah kecewa. Sumbangan anda diperlukan walaupun tidak lagi diposisi kepimpinan. Memberi sumbangan kepada perjuangan Islam ini adalah satu kewajipan individu dan jamaei yang tidak mengenal posisi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nasrudin berkata, ahli PAS juga diingatkan supaya tidak terlalu gopoh untuk mencapai hasrat parti itu kerana biar lambat asal selamat. – mynewshub.cc