MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan nama Bestari Jaya kurang bersesuaian sebaliknya mencadangkan agar nama asal pekan Batang Berjuntai dikekalkan semula.
Jelas Nazri, nama asal itu sepatutnya dikekalkan kerana ia adalah lambang warisan dan sejarah sesebuah kawasan.
“Sebaik-baiknya tidak perlu tukar. Dari segi geografi akan hilang panduan. Saya sendiri tidak tahu di mana Bestari Jaya.
“Seperti nama ibu negara, Kuala Lumpur – terkenal ke seluruh dunia dan tiada siapa persoal,” katanya kepada Selangorkini.
Tambah Nazri, penukaran nama kepada Bestari Jaya hanya dipersetujui Sultan Selangor selepas mendapat nasihat daripada Kerajaan Selangor sebagai pentadbir negeri.
“Itu (keputusan) kerajaan yang dahulu. Terpulanglah,” ujarnya.
Terdahulu, Kerajaan Selangor telah membuat penamaan semula Batang Berjuntai kepada ‘Bestari Jaya’ pada tahun 2007 berikutan ingin menjaga nama baik pekan tersebut agar tidak disalah erti dengan tanggapan yang tidak senonoh.
– MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=NYFFFtk-DxQ
Oleh: CARRIE
Sumber: SelangorKini