IPOH – Orang ramai digalakkan menghantar sendiri kenderaan mereka ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk melakukan pemeriksaan bagi memastikan keselamatan kenderaan terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemantauan Prestasi Puspakom Perak, Ding Siew Chee berkata sekiranya kenderaan mereka tidak mendapat kelulusan daripada Puspakom, mereka akan mengetahui sendiri punca sebenar mengapa ia tidak diluluskan.
“Sebelum ini, orang ramai menggunakan ejen untuk memeriksa kenderaan mereka di Puspakom.
“Jika kenderaan mereka tidak diluluskan, pihak ejen akan memberi pelbagai alasan dan ini boleh menimbulkan kemarahan pemilik kenderaan tanpa merujuk kepada Puspakom punca sebenar kenderaan mereka tidak diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan pemeriksaan kenderaan komersial di sini, hari ini.
Ding berkata segala pemeriksaan yang dijalankan oleh Puspakom adalah berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Terdapat lapan peringkat pemeriksaan kenderaan yang dilakukan bermula dengan pengesahan identiti kenderaan, pemeriksaan bahagian atas kenderaan, ujian pelepasan asap, ujian brek, ujian gelincir sisi, ujian suspensi, pemeriksaan bahagian bawah kenderaan dan ujian cermin gelap.
“Puspakom hanya menjalankan pemeriksaan dan keputusan sama ada kenderaan berkenaan lulus ataupun tidak, adalah berdasarkan kepada sistem komputer dan bukannya berdasarkan keputusan kita sendiri. Tiada siapa boleh mengubah keputusan pemeriksaan itu,” katanya.
Beliau berkata kenderaan komersial telah ditetapkan untuk melakukan pemeriksaan secara berkala kira-kira enam bulan sekali.
“Bagi kenderaan persendirian pula, pemilik kenderaan boleh datang ke Puspakom pada bila-bila masa sahaja dan bayaran yang ditetapkan untuk pemeriksaan hanya RM40,” katanya.
Ding turut memaklumkan bahawa Puspakom akan menjalankan pemeriksaan secara percuma kepada orang ramai sempena Hari Raya Aidilfitri dan tarikhnya akan diumumkan kemudian. – BERNAMA