KUALA LUMPUR – PAS memberi bayangan parti itu akan menukar sistem ekonomi sedia ada kepada sistem ekonomi berasaskan ketuhanan jika berjaya memegang tampuk pentabiran negara.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, punca kemiskinan di negara ini kerana Malaysia mengamalkan amalan ekonomi kapitalis.
“Sistem ini yang menyuburkan jurang antara golongan kaya dan miskin, penyusutan nilai mata wang ringgit dan pinjaman riba mesti diberi perhatian dan penyelesaian berpandukan Islam.
“Suka juga untuk saya tegaskan ialah kelemahan utama konseptual kemiskinan konvensional ialah ia menafikan hak ketuhanan sebagai salah satu komponen penting untuk mengurus fenomena kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, benar ada konsep ‘corporate social resposibility’ dan ‘kebajikan’ dalam ideologi kapitalis atau sosialis.
Namun, katanya, Islam lebih awal dan lama mengemukakan penyelesaian terhadap masalah kemiskinan ini antaranya dengan pengsyariatan zakat. – mynewshub.cc