KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kluang DAP, Liew Chin Tong menjangkakan pertembungan di antara ahli PAS yang mahu mengekalkan tradisi parti itu dengan golongan yang mahu mengarusperdanakan PAS tidak akan selesai.
Beliau mendakwa, hal itu kerana golongan yang mahu mengarusperdanakan parti itu bercita-cita menawan Putrajaya manakala golongan yang mahu mengekalkan tradisi PAS hanya mahu parti itu terus `menetap’ di Kelantan.
“Jurang perbezaan mereka terlalu luas dan tidak mungkin pertembungannya selesai selepas pemilihan. Hasil pemilihan kali ini akan membawa kesan besar bagi PAS, Pakatan Rakyat dan Malaysia. Penyusunan semula pasukan-pasukan mungkin menjadi langkah seterusnya,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Chin Tong membayangkan golongan yang mahu mengekalkan tradisi parti itu itu adalah pendokong pimpinan ulama PAS manakala mereka yang mahu mengarusperdanakan PAS bagi memenangi kerajaan Persekutuan adalah pendokong golongan professional dalam parti itu.
Berikut kenyataan beliau mengenai dakwaannya itu:
KETIKA PAS bekerjasama dengan Umno pada tahun 70’an, terdapat kelompangan dalam kepimpinan di kalangan orang Melayu, terutamanya generasi muda. Anwar Ibrahim dan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dilihat sebagai alternatif kepada Umno.
Anwar telah berkempen untuk PAS pada pilihanraya umum 1978 dan ditawarkan untuk memimpin PAS oleh Asri beberapa kali. Namun beliau akhirnya menyertai Umno satu minggu sebelum pilihanraya April 1982 dan menjadi wajah Islam Umno selama 16 tahun sehinggalah beliau dipecat pada bulan September 1998.
Pada bulan Oktober 1982, sebagai respon kepada Umno yang telah menemukan wajah Islamnya daripada Anwar dan sebagai usaha meremajakan parti, ‘young Turks’ PAS telah melengser Asri Muda dari kerusi presiden dalam Muktamar yang tidak berlangsung pemilihan. Akhirnya, separuh kepimpinan utama PAS dipecat pada Januari 1983 oleh kepimpinan baru, termasuk empat daripada lima Ahli Parlimennya pada waktu itu, dengan meninggalkan Nik Aziz sebagai satu-satunya Ahli Parlimen di peringkat nasional.
Bagi membezakan antara kepimpinan lama dan baru, ‘kepimpinan ulama’ diangkat menjadi tema. Maksud sebenar label tersebut terus menjadi topik perdebatan sehingga ke hari ini.
Antara tahun 1982 dan 1998, sementara PAS melalui proses peremajaannya, ia merupakan sebuah parti pembangkang kecil dengan tapak sokongan di negeri-negeri Melayu Utara iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Kepimpinan ini terdiri daripada para ulama’ dan aktivis, manakala ahlinya pula terdiri daripada para petani dan peniaga yang sama ada menyokong PAS atas dasar identiti Kelantan, atau kerana benar-benar mahu melihat sebuah masyarakat yang lebih taat beragama. Mereka tidak berfikir tentang mendapatkan kuasa di peringkat Persekutuan kerana ia sememangnya mustahil.
Idealisme Reformasi bagi PAS
Pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 telah membawa perubahan kekal kepada PAS. Setahun selepas September bersejarah itu, PAS mendakwa keahliannya meningkat dua kali ganda daripada 450,000 menjadi 800,000 ahli. Ramai yang menyertainya adalah dari kalangan ‘orang kaya baru’ dan para profesional dari generasi DEB, dan secara geografinya tertumpu di bandar-bandar Pantai Barat. Mereka membenci Mahathir dan Umno, namun barangkali juga tidak percaya Anwar; maka mereka memilih PAS.
Pada pilihanraya umum 1999, dengan penolakan kuat orang Melayu terhadap Umno, PAS memenangi 27 kerusi Parlimen beserta kerajaan negeri Terengganu selain kerajaan Kelantan yang telah ditadbirnya sejak 1990.
Dengan kemasukan beramai-ramai ahli baru dan kemunculan pimpinan baru yang tidak terlatih sebagai ulama’, cakap-cakap tentang pertembungan ulama’ melawan profesional menjadi tema setiap pemilihan parti sejak Reformasi. Pendeknya, latar belakang pendidikan sudah tidak sepenting sikap politik.
Presidennya, Fadzil Noor pada waktu itu begitu bersemangat untuk membawa PAS melampaui tapak-tapak sokongannya dan menjangkau lebih jauh kepada audien Melayu yang lebih luas, serta para pengundi bukan-Melayu. Katanya, PAS harus mengarusperdanakan dirinya.
Pertembungan seterusnya pula adalah antara mereka yang menyokong usaha mengarusperdanakan parti dengan mereka yang para pendokong tradisi.
Kematian Fadzil Noor pada bulan Jun 2002 mengakibatkan Hadi Awang mengambil alih kemudi dan membolehkan parti itu kembali ke kedudukan asal memperkukuh tapak sokongannya dengan agenda-agenda bergaris keras. PAS kalah teruk dalam pilihanraya umum tahun 2004 dan kehilangan kerajaan negeri Terengganu.
Antara tahun 2004 dan 2008, para pendokong garis keras ini dijinakkan ekoran kekalahan besar dan anasir moderat yang berjaya mengemudi parti mengikuti arah Partai Keadilan Sejahtera Indonesia dan AK Party Turki, justeru timbul lah terma ‘Erdogan’.
Kembalinya puak konservatif
Tsunami 2008 membawa kejutan besar. PAS memperolehi tambahan kerusi daripada sekadar 6 pada tahun 2004 menjadi 23 kerusi pada tahun 2008. Namun ramai di lingkungan konservatif tidak senang hati kerana Parti Keadilan Rakyat memenangi 31 kerusi, manakala DAP 28.
Ramai dari kalangan PAS mula berhati-hati dengan politik baru tidak-perkauman yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.
Selain daripada golongan pengekal tradisi dan penyokong usaha arus-perdana, satu lagi generasi baru yang dewasa sepanjang proses peremajaan 1982 kini sudah cukup usia. Sebahagian dari mereka ada yang merupakan anak pemimpin. Kelompok garis keras 1982 telah melatih anak-anak diri mereka dalam persekitaran tertutup politik PAS sejak zaman pra-sekolah sehinggalah ke universiti, tanpa banyak interaksi dengan masyarakat luar. Merekalah yang membentuk kumpulan garis keras baru dalam pertarungan hari ini.
Jurang perbezaan ini terlalu luas dan tidak mungkin pertembungannya selesai selepas pemilihan. Hasil pemilihan kali ini akan membawa kesan besar bagi PAS, Pakatan Rakyat dan Malaysia. Penyusunan semula pasukan-pasukan mungkin menjadi langkah seterusnya. – mynewshub.cc