KUALA LUMPUR – “Amat mengagumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh mendakwa Pakatan Rakyat masih wujud sedangkan Presiden PAS tidak hadir mesyuarat Pakatan Rakyat”.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kenyataan Abdul Hadi itu juga mengagumkan kerana Abdul Hadi yang sebelum ini bertindak melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan melangkaui keputusan Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat.
Malah, kata beliau, perpecahan Pakatan Rakyat sebenarnya sudah berlaku sewaktu Abdul Hadi membantah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.
“Krisis Pakatan Rakyat sebenarnya boleh timbul lebih awal jika Pakatan Rakyat mendapat majoriti kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memandangkan Abdul Hadi tidak pernah bersetuju Anwar sebagai calon Pakatan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.
“Berdasarkan itu, saya amat kagum apabila Abdul Hadi mendakwa Pakatan Rakyat belum `mati’,” sindirnya dalam satu kenyataan media hari ini.
DAP sebelum ini mengumumkan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud selepas Muktamar PAS Baru-Baru ini meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan DAP.
Abdul Hadi bagaimanapun menegaskan Pakatan Rakyat masih wujud.
Kit Siang berkata, beliau tidak mahu terlibat dalam polemik sama ada Pakatan Rakyat sudah `mati’ atau sekadar `pengsan’ kerana perkara yang lebih penting sama ada Pakatan Rakyat masih relevan pada pandangan rakyat.
“Kami suram dan murung Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, tetapi tidak ada sebab untuk menjadi suram mengenai prospek masa depan politik,” katanya. - MYNEWSHUB.CC