KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang melaksanakan gaji minimum berbeza mengikut pengalaman kerja atau senioriti, jenis industri atau saiz perniagaan serta kewarganegaraan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata pelaksanaan itu tidak sesuai memandangkan pendirian dasar gaji minimum kerajaan adalah untuk menetapkan gaji lantai atau gaji pokok di sektor swasta dan bukan penetapan gaji bagi keseluruhan.
“Kementerian melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah menjalankan kajian dan berpandangan bahawa pelaksanaan gaji minimum berbeza ini adalah tidak sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) di sini.
Normala ingin tahu sama ada kementerian berhasrat untuk menjalankan kajian lanjut berkenaan gaji minimum berbeza antara pekerja tempatan dan asing, serta pekerja yang telah lama berkhidmat dan sama ada mereka akan dikelaskan mengikut jenis industri atau saiz perniagaan.
Semasa memperincikan perkara itu, Richard berkata pendirian MPGN dalam menetapkan kadar gaji minimum yang seragam tanpa membezakan warganegara seseorang adalah selaras dengan Konvesyen ‎Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) nombor 100 iaitu ‘Equal Remuneration’ yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1997.
Katanya, adalah lebih sesuai penetapan gaji minimum mengikut pengalaman kerja atau senioriti berdasarkan budi bicara majikan atau industri itu sendiri secara pentadbiran kerana pihak majikan lebih memahami mengenai gaji sesuai kepada pekerja berkenaan. – BERNAMA