KEMALANGAN maut yang membabitkan sebuah kereta Pajero dan enam Myvi hingga mengorbankan tiga beranak di lebuh raya DUKE awal Mei lalu masih lagi segar di ingatan seluruh rakyat Malaysia.
Semenjak nahas itu, kemalangan yang melibatkan Myvi sering kali menarik perhatian ramai.
Terbaharu, seorang pemandu lori maut akibat dirempuh sebuah kereta Myvi dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu awal pagi tadi.
Dalam kemalangan 6 pagi itu, mangsa, David Liwas, 42 mengalami kecederaan kepala yang serius manakala pemandu Myvi, 25 hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata siasatan awal mendapati pemandu Myvi memandu dalam keadaan laju dan mengekori lori dengan rapat sebelum merempuh belakang lori berkenaan.
“Impak dari rempuhan itu menyebabkan pemandu lori hilang kawalan dan terbalik ke sisi kiri,†katanya.
Kedua-dua pemandu berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Menggatal ke pusat bandar.
Pemandu Myvi tersebut telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE