KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dua pemohonan semakan kehakiman oleh Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan empat individu lain, yang mencabar arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya diadakan pemilihan semula parti.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad memutuskan bahawa tiada sebab untuk mahkamah campurtangan dalam keputusan RoS memandangkan ia adalah munasabah dan rasional sejajar dengan Seksyen 16(1) dan Seksyen 18 (b)(1) Akta Pertubuhan 1966.
Mahkamah memerintahkan kelima-lima pemohon itu supaya membayar kos RM90,000 kepada RoS, Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, yang juga pencelah dalam permohonan itu.
Kesemua pemohon memfailkan dua permohonan berasingan bagi semakan kehakiman untuk mencabar arahan RoS supaya diadakan pemilihan semula parti.
Permohonan pertama difailkan pada 23 Feb oleh anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC A.K. Ramalingam, 47, yang menamakan RoS dan ketua pengarahnya Mohammad Razin Abdullah sebagai responden.
Permohonan kedua difailkan pada 24 Feb oleh Palanivel, dua Naib Presiden MIC Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan, serta bekas Setiausaha Agung MIC A. Prakash Rao.
Mereka menamakan RoS dan Menteri Dalam Negeri masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan mereka itu, Palanivel, Sothinathan, Balakrishnan dan Prakash Rao memohon, antara lain, perisytiharan bahawa perkara yang berkaitan dengan pemilihan parti adalah tertakluk kepada perlembagaan parti dan bukannya berdasarkan kepada pandangan Ros.
Mereka turut memohon perisytiharan bahawa keputusan pemilihan jawatan dalam MIC yang diadakan semasa perhimpunan agung tahunan parti pada 30 Nov 2013, adalah sah dan boleh dikuatkuasakan.
Pemohon turut memohon injunksi untuk menghalang responden daripada mengambil sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang arahan terhadap MIC sehinggalah permohonan semakan kehakiman itu selesai.
Pada 20 Mac, mereka memperoleh kebenaran bagi semakan kehakiman daripada Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan RoS. – BERNAMA