KUALA LUMPUR – Pemuda MIC Johor mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan melampau Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz ke atas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Ketuanya, S.Deva berkata, Nazri sepatutnya menunjukkan contoh menghormati institusi diraja dan bukan bertindak seperti ketua kongsi gelap dengan mengeluarkan kata-kata ugutan ke atas baginda.
Sehubungan itu, beliau mahu kepimpinan Barisan Nasional (BN) mengenakan tindakan disiplin ke atas Nazri selaras dengan dasar BN mendokong prinsip kesetiaan kepada raja dan negara.
“Pemuda MIC Johor turut mendesak kepimpinan negara agar memecat Nazri daripada jawatan menteri yang sedang disandangnya.
“Lagipun, ia bersesuaian dengan kegagalan Kementerian Pelancongan dalam program Tahun Melawat Malaysia tahun lalu apabila ia hanya mampu mencatat kemasukan pelancong sebanyak 27.4 juta pelancong walhal sasarannya adalah sebanyak 28 juta pelancong,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Deva berkata, Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak serta mampu mengurus tadbir dengan baik dan bukan hanya tahu bercakap seperti `tin kosong’.
“Sebagai anak jati Johor, Pemuda MIC Johor mahu Nazri menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Tunku Ismail dengan segera. Jangan kerana sikap anda mencemarkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Pemuda MIC Johor berikrar sentiasa berdiri teguh di belakang institusi diraja Johor. Kami semua adalah anak Johor dan ingatlah bahawa hanya Johor mengenali Johor,” katanya. – mynewshub.cc
https://www.youtube.com/watch?v=5uXwwsh6qQs