SEREMBAN – Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini masih kurang dengan hanya sejumlah 343,871 orang telah berdaftar dalam sistem maklumat OKU sehingga 22 Jun lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata jumlah ini merupakan 1.1 peratus daripada penduduk Malaysia.
“Pada hal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan setiap negara sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus OKU perlu didaftarkan. Kita ambil 10 peratus daripada jumlah penduduk kita, bermakna daripada 30 juta sepatutnya kita mesti ada di dalam pendaftaran 3 juta orang.
Jadi jawapannya kenapa pendaftaran OKU kita kurang. Mungkin tahap kesihatan penduduk Malaysia begitu baik, atau kurang kesedaran … tidak berapa ramai orang mengetahui menyebabkan ibu bapa tidak membawa anak mereka ini untuk mendaftar,” katanya.
Satu sebab yang beliau berharap tidak berlaku adalah ibu bapa malu mendaftar anak mereka sebagai OKU, katanya kepada pemberita selepas Majlis Semarak Sinar Ramadan 2015 di Taman Sinar Garapan Tunku Ampun Najihah di sini, hari ini.
“Saya berharap tidak ada ibu bapa malu untuk mendaftarkan anak mereka sebab anak ini adalah darah daging mereka. Jadi, kalau ada kes macam ini, kita bawa cepat-cepat untuk kita mengadakan intervensi dan rehabilitasi secepat mungkin sebab mereka mempunyai hak,” katanya.
Ekoran itu, katanya usaha pendaftaran OKU perlu dipergiatkan lagi dan dengan ini beliau menyeru kementeriannya dan agensi di bawahnya agar dapat mengerakkan kempen kesedaran pendaftaran OKU.
Rohani berkata kerajaan sentiasa memastikan keistimewaan dan kemudahan disediakan kepada OKU dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan mereka.
Katanya OKU yang berdaftar akan dapat menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. – BERNAMA