SEMPORNA – Pengusaha pelancongan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) diminta memastikan pekerja mereka tidak menjadi tali barut penjenayah rentas sempadan terutama penculik.
Timbalan Pengarah Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), ACP Hashim Justin berkata pengusaha terutama di perairan Semporna perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu bagi mengelak kejadian culik daripada berulang.
“Kita tidak harus memberi ruang kepada penjenayah atau penculik mengeksploitasikan pekerja asing yang bekerja di pulau pelancongan di ESSZone, terutama perairan Semporna. Kita tidak mahu kes culik didalangi pekerja mereka sendiri berulang lagi.
“Sebab itu ESSCom berkali-kali mengingatkan supaya pengusaha pelancongan tidak mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja mereka.
Ambillah orang tempatan atau pekerja asing yang memiliki dokumen yang sah dan sediakan profil pekerja untuk memudahkan pemantauan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat keselamatan pada seminar peningkatan imej pusat pelancongan kawasan Semporna anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia di sini malam tadi.
Hashim turut menasihatkan pengusaha pelancongan supaya menggunakan bot syarikat mereka sendiri untuk mengangkut pelancong bagi memastikan keselamatan pelancong sentiasa terkawal dan terjamin.
“Kita juga menggalakkan setiap premis pelancongan memasang alat CCTV dan pengusa perlu mengelak mengadakan aktiviti di kawasan berisiko berdekatan sempadan perairan antarbangsa,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=lqgekVW8XTM