DUNGUN – Orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan di sekitar daerah ini memuji usaha kebanyakan peniaga yang menitikberatkan soal penjagaan kebersihan makanan yang dijual setiap petang.
Tinjauan Bernama di Bazar Sura Gate serta Bazar Batu 48, di sini mendapati kebanyakan peniaga menggunakan bekas tertutup dan plastik untuk meletakkan makanan yang dijual mereka berbanding pada tahun lalu dengan kebanyakan peniaga tidak menggunakan bekas tertutup.
Seorang pengunjung bazar Ramadan, Ahmad Naufal Idrus, 37 dari Paka berkata usaha peniaga yang mementingkan kebersihan dalam aspek penyediaan makanan harus dipuji dan dicontohi peniaga lain.
“Peniaga di bazar ini kebanyakannya meletakkan kuih-muih dalam bekas yang tertutup serta menggunakan plastik untuk membungkus kuih, memang baguslah sebab kalau tak guna bekas tertutup, lalat mudah dekati makanan yang manis dan kita nak beli pun tak ada selera.
“Ada juga peniaga yang tak guna bekas tertutup ni, dan kita haraplah mereka dapat mengamalkan cara yang peniaga lain guna dan seharusnya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga macam ni,” katanya ketika ditemui Bernama.
Bagi Mohd Shahrul Nizam Yusof, 26 dari Al Muktafi Billah Shah, Hulu Dungun dekat sini berkata beliau turut memuji usaha peniaga yang dilihat bukan sahaja mengambi berat mengenai penyediaan makanan, malah mereka turut mementingkan kebersihan dari aspek penjagaan diri peniaga.
“Ramai peniaga saya, mementingkan kebersihan dari segala aspek termasuk dengan memakai apron, kasut dan juga sarung tangan sewaktu berniaga.
“Memang ini yang pembeli harapkan dari peniaga sebab apa yang mereka jual tu kita beli dan kita makan, memanglah kita nak semuanya bersih dan kita harap mereka (peniaga) menyediakan makanan seperti mereka sediakan makanan untuk ahli keluarga mereka dan tak hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katannya.
Bagi Rohimie Ismail, 42, beliau berharap peniaga di bazar-bazar tidak menjual kembali makanan yang tidak habis semalam dan dijual hari ini bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan.
“Satu perkara yang menyebabkan ramai pembeli serik untuk membeli di bazar adalah apabila mereka keracunan makanan yang berpunca dari makanan yang dihangatkan kembali dan ini memang satu sikap yang sangat tak disukai pembeli dan saya harap sangat tahun ini tak ada kejadian macam ni,” katanya. – BERNAMA