KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga esok perbicaraan 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pencerobohan Lahad Datu.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata perbicaraan itu, yang ditangguhkan semalam, dijadual bersambung hari ini namun terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab.
Sejumlah 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas beberapa pertuduhan yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.
Mereka menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April, 2013.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah di sini bersidang selama 165 hari dengan 102 saksi dipanggil memberi keterangan setakat ini.
Mahkamah menetapkan 55 hari lagi sehingga 23 Dis ini untuk perbicaraan kes itu. – BERNAMA