KUALA PERLIS – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah perpaduan yang menjadi inti pati kejayaan pembangunan dan kemakmuran negara memerlukan keikhlasan dalam diri setiap rakyat.
Titah baginda dengan keikhlasan sahaja rakyat pelbagai kaum akan dapat berkongsi nikmat keamanan dan pembangunan negara.
“Semangat muhibbah dan toleransi yang diamalkan dalam suasana perpaduan dan integrasi tidak akan menghilangkan identiti kita.
“Unsur-unsur melampau pula sehingga sanggup menghina sesuatu bangsa atau agama lain adalah perbuatan yang tidak pernah disuruh oleh mana-mana agama atau kepercayaan,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah merasmikan sambutan Minggu Perpaduan peringkat Negeri Perlis bersempena sambutan ulang tahun ke-72 keputeraan baginda di Laman Hotel Brasmana di sini, malam tadi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup yang turut hadir, berkata perpaduan yang dikecapi sekarang adalah hasil kejayaan manifestasi wawasan dan visi kepimpinan awal negara menjadikan kemajmukan rakyat sebagai sumber kekuatan dan pembangunan.
“Kepimpinan awal negara melihat jauh ke hadapan bahawa misi untuk merapatkan hubungan kaum boleh tercapai dengan mengikis sikap prejudis antara penduduk berbilang kaum,” katanya. – BERNAMA