KUALA LUMPUR – PAS akan terus istiqamah dan menerima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka walaupun Pakatan Rakyat yang dibarisi parti pembangkang telah berakhir.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS bagaimanapun akan tetap kekal dengan kerjasama bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Apapun, prinsip dan dasar parti akan terus menjadi kompas perjuangan PAS.
“Tiada siapa yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang bakal berlaku pada masa depan. Kekalahan hari ini mungkin adalah rahmat di masa depan, kemenangan hari ini mungkin ialah musibah yang tidak diundang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, kerjasama politik DAP dengan PAS tidak dapat bertahan buat kali kedua tetapi ia lebih lama berbanding zaman Barisan Alternatif.
“Jika ada kali ketiga, diharap kerjasama ini akan lebih panjang berbanding yang sebelumnya,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, PAS tetap kesal dengan serangan berterusan DAP terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – MYNEWSHUB.CC
https://youtu.be/9XFuADlufN4