KUALA LUMPUR – Seorang pesawah dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dia mengaku bersalah memiliki kereta curi kepunyaan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mac lepas.
Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Fitri Abdul Karim, 20, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap, 27 Mac lepas.
Muhamad Fitri dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki sebuah kereta curi jenis Proton Perdana V6 milik akademi itu di hadapan Pejabat Pos Pendang, Kedah pada pukul 3.20 pagi.
Seksyen itu memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kenderaan itu dilaporkan hilang di Brickfields, di sini pada 29 Nov 2012.
Menurut fakta kes, polis cuba menahan kereta yang dinaiki tertuduh di hadapan pejabat pos itu namun beliau memecut melarikan diri.
Tertuduh ditangkap setelah polis mengejarnya dan kenderaan dipandu beliau terbabas ke dalam parit, yang menyebabkan tertuduh patah tangan kiri dan cedera di beberapa bahagian badan.
Ketika rayuan, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana dia bersama bapanya, yang juga seorang pesawah, perlu menanggung keluarga termasuk ibu tertuduh yang uzur.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana pesawah itu bukan sahaja memiliki kereta curi malah menyebabkan kereta kepunyaan Aswara itu rosak teruk. – BERNAMA