SHAH ALAM – Anggota Unit Anti-Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Selangor menyerbu empat buah premis perjudian siber di Bandar Parkland, Klang, dekat sini awal pagi ini dan menahan sebanyak 22 pelanggan.
Dalam serbuan pada kira-kira 1 pagi itu, polis turut menahan sembilan lelaki warga asing dipercayai penjaga premis dan menyita 84 unit komputer riba berserta modem, kata Pegawai Turus D7 Selangor DSP Abd Ghofar Ahmad.
Kesemua yang ditahan berusia antara 20 tahun dan 40 tahun dan dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,441, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, serbuan itu dibuat selepas polis menerima maklumat awam serta risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu di kawasan tersebut.
Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya, katanya. – BERNAMA