KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memuji usaha berterusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sentiasa bergerak ke arah pembaharuan bagi memastikan programnya bukan sekadar menghibur malah mampu memenuhi pelbagai keperluan masyarakat.
Menurut beliau, aktiviti dan program RTM banyak manfaatnya kepada masyarakat dan negara termasuk dalam penyebaran berita, maklumat, membangunkan minda masyarakat, membentuk nilai-nilai murni, memupuk bakat dan membangunkan seni budaya warisan bangsa.
“Semua ini memberi kesedaran kepada kita tentang betapa penting dan relevannya RTM terhadap sumbangan ke arah memantapkan proses pembinaan negara dan bangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Ramadan RTM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kepayan di sini Jumaat.
Bagaimanapun Rosnah meminta agensi penyiaran berkenaan agar terus mengorak langkah melakukan pelbagai penambahbaikan serta perancangan dari semasa ke semasa supaya RTM terus berada di hadapan sebagai peneraju dalam era persaingan teknologi maklumat masa kini.
Mengenai program jelajah Ramadan yang dikendalikan oleh RTM, beliau berkata ia merupakan usaha berterusan bagi mendekatkan agensi itu dengan audiens dan masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Katanya, program itu secara tidak langsung dapat mempromosikan RTM di seluruh negara dan memberi peluang kepada audiens dan masyarakat untuk bertemu dengan ikon serta selebriti RTM.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah Ali Ngasio berkata program jelajah Ramadan adalah hasil kerjasama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam melaksanakan CSR agensi itu.
“Jabatan ini sentiasa berusaha membawa pelbagai program yang dapat memenuhi cita rasa pendengar dan penonton serta dalam masa yang sama memenuhi hasrat kerajaan untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai,” katanya. – BERNAMA