KOTA KINABALU – ‘Mat Malaya’ yang diberkas polis di Kundasang pada 1 Jun lalu, kerana disyaki terlibat dalam kes menembak dan mencederakan seorang pembantu mekanik, ditahan reman bermula semalam hingga 9 Jun ini bagi membantu siasatan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman bagaimanapun berkata, isteri ‘Mat Malaya’, 24, yang turut ditahan ketika polis membuat serbuan di sebuah penginapan Inap Desa di Kundasang, kira-kira pukul 10.50 malam, dibebaskan selepas keterangannya dirakamkan.
“Mat Malaya positif dadah dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada 6 Mei lalu, Mat Malaya, 44, yang beralamat di Shah Alam, Selangor, menghilangkan diri selepas dipercayai menembak kaki pembantu mekanik berumur 36 tahun di sebuah bengkel membaiki penyaman udara kenderaan di Jalan Tuaran.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai melepaskan tiga das tembakan dan satu daripadanya mengenai dan menembusi kaki kanan mangsa. – BERNAMA