KUALA LUMPUR – Gempa bumi yang melanda Sabah baru-baru ini bukan sekadar mencatat rekod gegaran terkuat malahan membawa amaran keras supaya negara lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana itu berkunjung lagi.
Kejadian pada pagi 5 Jun itu bukan kali pertama berlaku malah lebih 80 siri gegaran dengan sekurang-kurangnya bermagnitud 3.8 skala Richter dilaporkan pernah berlaku di Sabah sejak 1897.
Kali ini kesan gempa bumi dengan kekuatan bermagnitud 5.9 pada skala Richter itu turut menimpa Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara, dan mengorbankan nyawa 18 pendakinya termasuk empat malim gunung.
Akibatnya pasti lebih teruk jika kejadian itu berlaku di lokasi padat pembangunan dan ramai penduduknya seperti di Lembah Klang.
SEJAUH MANA PERSEDIAAN NEGARA HADAPI BENCANA
Persoalannya sejauh mana kita bersedia menghadapi kemungkinan berlaku lagi gempa bumi yang selama ini ada yang menganggap ia sebagai gegaran ‘manja’ yang tidak meninggalkan kesan besar.
Selama ini ada yang memandang Malaysia sebagai negara yang selamat daripada bencana gempa kerana berada di luar Lingkaran Api Pasifik. Atas alasan itu, proses pembangunan sering tidak mengambil kira ancaman bencana itu malah secara dasarnya pembinaan struktur bangunan di negara ini mengabaikan rekabentuk bagi menahan impak gempa bumi.
Bangunan-bangunan tinggi pula hanya direka untuk menahan kekuatan angin yang sesekali mengganas.
Tetapi jangan lupa, Semenanjung juga terasa gegaran daripada gempa yang berlaku di Indonesia. Selain itu Bukit Tinggi di Pahang juga mencatatkan beberapa kejadian gempa kecil sejak lewat tahun 2000.
Oleh itu sudah sampai masanya untuk negara melihat keperluan itu walaupun pastinya kos projek pembangunan akan meningkat.
BELUM ADA DASAR BERKAITAN BENCANA GEMPA BUMI
Selaras dengan itu, saranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara ini memerlukan sebuah pusat pemantauan gempa bumi juga perlu dipertimbangkan dengan serius.
Apa lagi sehingga ini negara ini belum mempunyai pusat khusus untuk mengesan pergerakan kerak bumi yang membawa kemungkinan berlakunya bencana alam itu.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga perlu melaksanakan segera sistem amaran awal gempa bumi sebagaimana yang diarahkan oleh Muhyiddin.
Walaupun penggunaan alat bagi menangani kesan gempa bumi tidak memberi jaminan keselamatan 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengawal kemusnahan lebih besar.
PERSEDIAAN RAKYAT HADAPI BENCANA GEMPA
Perkara lain yang perlu difikirkan adalah sejauh mana rakyat negara ini bersedia untuk seiringan dengan kerajaan dalam menguruskan bencana atau sekurang-kurangnya melengkapi diri dengan pengetahuan asas ketika menghadapi bencana.
Semasa penulis berada di Christchurh, New Zealand pada 2012, rakan-rakan di negara itu menasihati penulis supaya tidak “terjun tingkap” jika berlaku gegaran.
Sebaliknya mereka menasihati saya berlindung di bawah meja atau tempat yang boleh dimasuki udara kerana jika bangunan ranap masih ada ruang untuk bernafas sebelum bantuan tiba.
Ini kerana gegaran susulan masih berlaku di negara itu selepas gempa bumi berukuran 6.3 pada Skala Richter melanda bandar Christchurh pada 22 Feb, 2011 yang mengakibatkan kerosakan besar di bandar itu termasuk 181 terbunuh.
Penulis percaya masih ramai yang tidak menerima pendedahan untuk menghadapi bencana alam di negara ini dan oleh yang demikian program pendedahan diwujudkan secara serius bagi komuniti yang tinggal di kawasan berisiko.
NGO PERLU BERPERANAN AKTIF ANJUR PROGRAM KESEDARAN
Dalam melahirkan sekurang-kurangnya seorang dalam setiap keluarga mahir dalam pengurusan bencana termasuk pendedahan memberi rawatan kecemasan pada saat bencana, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu.
Penulis juga tertarik dengan kesungguhan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang sejak lapan tahun lepas mendidik penduduk negeri itu mengurus dan menangani bencana melalui pelbagai program.
Yayasan yang diterajui Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu memulakan program berkenaan pada 2007 dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Rejimen 504 Askar Wataniah, Majlis Keselamatan Negeri Perlis,Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kesihatan Perlis.
Turut memberi kerjasama adalah beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.
Program itu diadakan berterusan sehingga kini termasuk melalui program Titian Kasih MEGA dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perlis untuk memberi pendedahan kepada golongan pelajar terhadap langkah menghadapi bencana alam itu.
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis).- BERNAMA