SINGAPURA – Atlit Singapura mencipta sejarah baharu dalam tempoh dua dekad apabila kontinjen rasmi republik tersebut yang dikenali sebagai Team Singapore berjaya meraih pingat emasnya yang ke-52 pada malam Selasa.
Pencapaian di luar jangkaan ini melepasi sasaran 50 pingat yang ditetapkan sebelum Sukan SEA ke-28 dirasmikan pada 5 Jun lalu; angka sama bersempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Singapura pada 9 Ogos depan.
Pasukan kebangsaan Singapura merangkul pingat emasnya yang ke-50 apabila ratu renang negara tersebut, Tao Li memenangi acara renang kuak rentang 100 meter di Pusat Akuatik OCBC di Kallang lewat Selasa.
Pingat emas ke-51 buat Singapura pula kemudian berjaya diraih oleh seorang lagi atlit renang republik itu, Quah Zheng Wen, yang memenangi acara 400 meter rampaian perseorangan lelaki di venue yang sama.
Sebelum bermulanya temasya sukan dwitahunan itu, sasaran Singapura ialah untuk merangkul paling minimum 50 pingat emas dalam Sukan SEA kali ini bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 pada tahun ini.
Kali terakhir Singapura pernah memenangi 50 pingat emas dalam penyertaan Sukan SEA ialah pada tahun 1993 lalu ketika republik tersebut juga menjadi tuan rumah untuk sukan terbesar rantau Asia tenggara itu.
Mengiringi 52 pingat emas itu ialah 43 pingat perak dan 54 gangsa, yang sekaligus meletakkan Singapura pada Rabu berada di tangga pertama dalam senarai pungutan pingat kepada jumlah 149 pingat kesemuanya.
Juara bertahan edisi 2013 lalu, Thailand pula di tempat kedua dengan memperolehi 38 pingat emas, 40 perak dan 35 gangsa sejauh ini manakala Vietnam kedudukan ketiga dengan 33 pingat emas, 16 perak dan 38 gangsa.
Sukan SEA kali ini bermula dari 5 Jun sehingga 16 Jun depan melibatkan lebih 7,000 atlit dari 11 buah negara bersaing hebat dalam 402 acara membabitkan 36 jenis sukan. – Agensi/MYNEWSHUB/H.A.AMREE