SINGAPURA – Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan Singapura (AVA) pada Jumaat mengarahkan pengimport menggantung buat sementara waktu penjualan semua mi segera jenama Maggi diimport dari India.
Arahan itu berkuat kuasa serta-merta namun, tinjauan stesen penyiaran tempatan, Channel NewsAsia mendapati masih ada lagi sesetengah kedai runcit di kawasan popular Little India terus berdegil menjual produk tersebut.
Para peniaga memberi alasan bahawa mereka tidak menerima sebarang maklumat terkini dari pembekal untuk menarik bekalan mi tersebut daripada dijual biarpun mengetahui berita mengenai pengharaman Maggi di India.
AVA mengesahkan Singapura mengimport sejumlah kecil mi jenama tersebut dari India, tetapi tidak membeli produk oat jenama Maggi dikeluarkan di India yang turut diharamkan susulan isu kadar plumbum berlebihan.
Pemerintah Singapura sedang menguji contoh mi Maggi yang dikilangkan di India, sambil menasihati pengimport yang terjejas untuk berhenti daripada menjual produk berkenaan sehingga ujian klinikal yang dijalankan selesai.
Dalam pada itu, firma pengeluar makanan gergasi dunia, Nestle secara sukarela bersetuju untuk menarik balik semua mi jenama tersebut dari pasaran India setelah teruk dikritik media kerana terlalu lambat bertindak balas.
Malah, syarikat itu telah melakukan ujian ke atas 125 juta paket mi Maggi di India bermula Rabu lalu setelah pengguna media sosial memperbesarkan isu plumbun tinggi dalam produk berkenaan secara keterlaluan. – Agensi/H.A.AMREE