SINGAPURA – Sukan SEA Ke-28 melabuhkan tirainya petang Selasa dan bendera rasmi kejohanan sukan dwitahunan tersebut bakal diserahkan kepada Malaysia selaku tuan rumah edisi ke-29 pada 2017 kelak
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mewakili hos akan datang menerima bendera temasya terbesar rantau Asia tenggara itu dari Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura, Tan Chuan-Jin.
Sukan SEA seterusnya dijadual diadakan di Malaysia, iaitu buat kali keenam negara tersebut menjadi tuan rumah selepas 1965, 1971, 1977 dan 1989 dan 2001; malahan pada 2017, ia dijangka mencipta dua sejarah baharu.
Pertama, jika pelan Malaysia diluluskan kelak, Sukan SEA 2017 akan muncul sebagai yang pertama diadakan di dua lokasi berjauhan – iaitu sekitar Kuala Lumpur serta buat julung kali melibatkan Sabah dan Sarawak.
Kedua, sukan lazim musim sejuk seperti acara luncur ais dan hoki ais mungkin ditampilkan buat kali pertamanya, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, Datuk Seri Zolkples Embong.
Sungguhpun demikian ujar beliau yang dilaporkan stesen penyiaran Singapura, Channel NewAsia, jumlah sukan rasmi bakal muktamad dipertandingkan mungkin hampir sama juga dengan republik tersebut iaitu 36 jenis.
Singapura kali ini menggugurkan beberapa sukan bukan Olimpik, yang sebelum ini membentuk sebahagian besar acara Sukan SEA, dan beliau mahu mengurangkan lagi jumlah itu apabila Malaysia menjadi tuan rumah kelak.
Menurut Zolkples, beliau turut ingin menerapkan aspek-aspek lain yang dirasakan telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh Singapura iaitu penggunaan secara meluas sistem teknologi digital dan media sosial
Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC) berganding bahu dengan firma Atos untuk menyediakan khidmat teknologi maklumat yang dimanfaatkan tuan rumah Olimpik 1988 di Korea Selatan.
“Saya amat kagum dengan aspek teknologi dalam temasya kali ini yang dimanfaatkan Singapura,” ujar bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia itu dalam ditemuramah yang disiarkan akhbar tempatan TODAY.
“Saya tertarik dengan sistem pemarkahan dan keputusan yang begitu pantas diumumkan secara online selain memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan pelbagai acara sukan menerusi Internet dan telefon bimbit.”
“Ini merupakan satu dimensi baru dalam sejarah Sukan SEA yang bermula di Bangkok, Thailand pada 1959 dan ian wajar dilaksanakan dalam temasya 2017 di Malaysia kelak. Saya tentu sekali akan menimbangkannya.”
Zolkples; 55 tahun, berkata, Malaysia akan memperuntukkan antara RM837 juta untuk menganjurkan Sukan SEA 2017, lebih rendah berbanding Singapura membelanjakan RM903 juta untuk menganjurkannya tahun ini.
“Singapura sudah menetapkan tanda aras yang begitu tinggi bagi upacara perasmian dan penutup Sukan SEA. Tapi fokus kami adalah untuk memberikan atlet dan peminat sukan di Malaysia sesuatu yang boleh dibanggakan.”
Zolkples menambah, satu lagi aspek Sukan SEA 2015 yang amat berguna bagi Malaysia apabila menganjurkannya pada 2017 ialah dengan menempatkan kesemua atlet yang bertanding dalam sukan yang sama dalam satu hotel.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2001, penganjur menempatkan atlet mengikut kerakyatan tetapi kaedah itu yang sekian lama diamalkan semua hos Sukan SEA menyebabkan atlet tidak mengenali negara lain.
“Keputusan untuk menempatkan atlet acara sama di hotel yang sama turut akan memudahkan perjalanan mereka ke lokasi pertandingan yang sama dan ini juga akan dapat menjimatkan kos dari segi pengangkutan logistik.”
Namun apa yang sebenarnya dekat di hati Zolkples ialah peluang untuk mengetengahkan acara sukan Olimpik, sekali gus beliau amat berharap akan membentuk sebahagian daripada warisan unik Sukan SEA di Malaysia.
Meskipun sering kali menjadi norma untuk memilih sukan yang berupaya menambah pungutan pingat emas bagi tuan rumah, namun amalan itu tidak seiring dengan matlamat yang ditetapkan oleh pengasas temasya tersebut.
Ketika diasaskan pada 1959, yang waktu itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara, ia bermatlamat untuk menggilap bakat ramai atlet dari rantau ini untuk bertanding di Sukan Asia dan seterusnya Sukan Olimpik.
“Setiap negara ingin meraih pingat yang banyak, tapi lihat apa berlaku misalnya pada Indonesia semasa menjadi hos Sukan SEA 2011, mereka buat banyak sukan bukan Olimpik dan ini memang memanfaatkan mereka.
“Indonesia muncul sebagai juara keseluruhan dengan pungutan 182 pingat emas tetapi lihat di Singapura, atlet Indonesia hanya setakat mendapat 45 pingat emas sahaja dan jurang perbezaannya begitu ketara sekali.
“Justeru, dari segi jenis sukan, kami mungkin tidak akan menampilkan sukan yang bukan Olimpik seperti hoki lantai dan perlumbaan bot optimist dalam acara sukan layar pada 2017.” – Agensi/Mynewshub/H.A.A