Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Tiada Keperluan Bertukar Kerusi...

SEREMBAN - Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan tiada keperluan untuk parti...

1.2 Bilion Penonton Dari...

KUALA LUMPUR - Sejumlah 1.2 bilion penonton dari 115 negara dijangka menyaksikan secara...

1MDB Sedia Membantu Siasatan...

KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengulangi kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak...

Budak 6 Tahun Maut...

KUALA LUMPUR - Seorang budak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari...

Taman Negeri Royal Belum Bakal Peroleh Pengiktirafan UNESCO

GERIK – Permata negeri Perak, Taman Negeri Royal Belum, yang kaya dengan khazanah alam hutan hujan tropika, dijangka mendapat pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia dalam tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Banding (PBF) Dr Daniel Baskaran K. berkata Jabatan Warisan Negara di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, telah menyediakan rekod dan dokumen untuk dikemukakan kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Berdasarkan mesyuarat terkini dengan kementerian, dosir berkenaan telah siap dan di peringkat penyerahan kepada UNESCO,” jelasnya, dan menambah kata bahawa ia mengandungi maklumat pengenalan Taman Negeri Royal Belum dan permohonan Kerajaan Melaysia untuk memperoleh pengiktirafan UNESCO.

“Sebaik saja mereka bersetuju untuk menilai permohonan kita, kerajaan hendaklah menyediakan dokumen-dokumen yang perlu, dengan maklumat terperinci, serta menyatakan sebab kerajaan mahukan Taman Negeri Royal Belum dijadikan tapak warisan dunia.

“Setelah itu, apabila UNESCO sedang menilai dokumen-dokumen yang dikemukakan, ia akan menghantar sekumpulan ahli sains ke (Taman Negeri Royal) Belum untuk mengesahkan laporan-laporan kita.

“Ia akan memakan masa kira-kira satu atau dua tahun sebelum Taman Negeri Royal Belum diberikan status warisan dunia, tertakluk juga kepada berapa panjang senarai menunggu (tapak-tapak warisan yang memohon pengiktirafan),” katanya kepada Bernama ketika lawatan media ke Belum Adventure Camp di Pulau Banding yang diurus selia oleh pemaju hartanah Emkay Group, baru-baru ini.

Pulau Banding adalah sebuah pulau buatan manusia yang terletak di tengah-tengah Tasik Temenggor, yang merupakan gerbang utama ke Kompleks Hutan Belum-Temenggor.

LEBIH TUA DARIPADA HUTAN AMAZON

PBF yang diwujudkan daripada cetusan idea Pengerusi Kumpulan Emkay Tan Sri Mustapha Kamal, terlibat dalam mempromosi dan melakukan penyelidikan serta kajian mengenai hutan hujan tropika.

Taman Negeri Royal Belum, dengan keluasan lebih 117,500 hektar (ha), adalah sebahagian daripada 300,000ha Kompleks Belum-Temenggor, yang dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun, sekali gus menjadikannya lebih tua daripada hutan hujan Amazon di Amerika Selatan dan hutan hujan Congo di Afrika Tengah.

Tapak-tapak warisan lain di Malaysia yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah Bandaraya Melaka Bersejarah, George Town di Pulau Pinang, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Taman Kinabalu di Sabah dan tapak arkeologi di Lembah Lenggong, Perak.

Pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu agensi-agensi berkaitan supaya mempertimbangkan sekiranya hutan Belum-Temenggor boleh dikenal pasti sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Daniel Baskaran berkata lebih 100 ahli sains dari pelbagai negara yang mempunyai hutan hujan dijangka menyertai ekspedisi untuk mengendalikan penyelidikan di dalam Taman Negeri Royal Belum sama ada pada Oktober atau November tahun ini.

“Kami ingin tahu lebih banyak perkara mengenai apa yang ada dalam hutan itu. Apabila ekspedisi itu berakhir, kami akan menyusun kesemua maklumat (yang diberikan oleh ahli-ahli sains tersebut) dan wujudkan satu inventori bagi membuktikan bahawa Belum sememangnya kaya dengan flora dan fauna,” jelas beliau, dan menambah kata bahawa satu persidangan antarabangsa juga dirancang akan diadakan pada awal tahun depan.

MENGAWAL KEDATANGAN PENGUNJUNG


Taman Negeri Royal Belum menjadi tuan rumah kepada kira-kira 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies lumut dan 23 jenis ikan sungai.

Ia juga merupakan rumah bagi mamalia dunia paling terancam seperti harimau, beruang madu, badak sumbu Sumatra, ungka tangan putih, tapir Malaya dan Gajah Asia. Burung enggang, yang sering kali dikaitkan dengan Sarawak, juga banyak terdapat di taman ini.

Daniel Baskaran berkata PBF gembira apabila aspek kelestarian dan pemulihan termasuk di dalam enam teras Rancangan Malaysia ke-11, yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 21 Mei.

Jelasnya ia bukan sahaja akan memberi faedah kepada Taman Negeri Royal Belum malah, menggalakkan badan-badan bukan kerajaan membantu dalam pemuliharaan hutan.

Menurut beliau, pelbagai usaha turut dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke Belum.

“(Taman Negeri Royal) Belum masih baharu dan hanya mula menerima kedatangan pelancong beberapa tahun lalu. Ia merupakan ‘kawasan hitam’ pada masa dulu dan orang ramai dilarang datang ke sini kerana bahaya komunis, namun, keadaan sudah berubah sekarang,” ujarnya.

Beiau menjelaskan bahawa ia berbeza dengan Taman Negara di Pahang kerana hanya bahagian-bahagian tertentu saja di Belum yang dibuka kepada umum, berikutan beberapa isu-isu berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan.

“Kami tidak mahu jumlah kedatangan pengunjung yang tidak terkawal kerana tidak mahu mengganggu flora dan fauna di Belum,” katanya.

Terdapat peningkatan jumlah kunjungan pelancongan ke Taman Negeri Royal Belum, iaitu seramai 13,207 pada 2013, berbanding 11,033 pada tahun sebelumnya.

KEM-KEM PENGEMBARAAN

PBF kini sedang mengkaji kemungkinan menubuhkan kem-kem pengembaraan di Taman Negeri Royal Belum sebagai usaha menarik minat golongan muda, supaya mereka menyedari kewujudan dan keindahan alam semula jadi serta mempelajari mengenai kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan.

Belum Adventure Camp, yang dibuka pada tahun lalu, boleh menempatkan seramai 30 pengunjung dan menawarkan pengalaman pembelajaran, di mana para tetamu didedahkan kepada perubahan ekosistem serta mempelajari cara mereka boleh menyumbang kepada persekitaran dan masyarakat apabila kembali ke rumah masing-masing kelak.

“Malang sekali, generasi muda kita tidak tahu menghargai warisan negara yang kaya dengan khazanah alam semula jadi,” kata Daniel Baskaran, dan menambah kata bahawa golongan muda sepatutnya menyemai rasa penghargaan dan syukur dengan anugerah hutan hujan tropika negara dan mencuba sedaya mungkin untuk melindunginya. – BERNAMA

 

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori