TAYLOR Swift terasa dirinya dikhianati rakan karibnya sendiri gara-gara model Gigi Hadid dikhabarkan kini sedang berpacaran dengan bekas teman lelaki penyanyi itu iaitu Joe Jonas.
Penyanyi Blank Space dan model berusia 20 tahun itu mempunyai hubungan yang sangat rapat sehingga Taylor menjemputnya sendiri muncul sebagai cameo dalam muzik video lagu terbaharunya, Bad Blood.
Menurut sumber majalah Closer, “Hubungan antara Taylor dan Gigi semakin berantakan gara-gara gosip mengatakan Gigi kini bercinta dengan Joe. Gigi dikatakan jatuh cinta dengan Joe namun Taylor menyifatkan tindakan rakannya itu sebagai mengkhianati dirinya.”
Taylor, 26, bertemu janji dengan Joe pada 2008 sebelum dirinya ditinggalkan hanya menerusi telefon oleh penyanyi berkumpulan adik-beradik Jonas Brothers itu.
Walaupun jurucakap Joe sudah mengesahkan bahawa Joe dan Gigi tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa namun baru-baru ini pasangan itu dikesan sedang bercium mesra dan berpelukan di Los Angeles.
“Gigi merayu kepada Taylor agar tidak memutuskan persahabatan mereka hanya disebabkan Joe. Malah Gigi turut menyampaikan pesanan Joe yang mana penyanyi lelaki itu memohon maaf di atas layanan buruknya terhadap Taylor sepanjang mereka berpacaran dulu.
“Gigi dan Taylor ada berbincang mengenai perkara itu namun Taylor dikatakan langsung tidak selesa melihat rakan baiknya kini menjalin hubungan dengan bekas teman lelakinya.
Joe, 25, mengatakan dia sudah pun berbaik-baik dengan Taylor namun menurut sumber dalaman, Taylor masih tidak dapat melupakan dan memaafkan perbuatan Joe yang memutuskan hubungan mereka hanya menerusi panggilan telefon.
Walaupun kini bahagia berpacaran dengan Calvin Harris namun Taylor masih tidak dapat menerima kenyataan yang kawan baiknya sendiri sudah jatuh cinta dengan bekas kekasihnya. – MYNEWSHUB.CC
Gigi Hadid and Joe Jonas are Dating!