MARAN – Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan rakyat untuk terus menyokong kerajaan yang prihatin bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara terpelihara.
Baginda bertitah rakyat tidak seharusnya mudah mengikut mereka yang berkepentingan, sehingga merugikan diri sendiri dan masa depan generasi seterusnya.
Titah baginda lagi, tidak ada kerajaan yang sempurna atau tidak melakukan kesilapan, namun kelemahan ini akan diperbaiki dan seharusnya dilihat bersama-sama nilai positif yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Kita harus ingat pentingnya untuk pelihara keharmonian. Kerajaan yang prihatin perlu kita sokong. Ini masa untuk kita tunjukkan sokongan kepada  Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Adnan Yaakob).
“Tambahan pula perdana menteri berasal dari Pahang. Siapa lagi yang hendak sokong jika bukan orang Pahang,” titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Pengurniaan Kepada Yang Memerlukan di Kampung Lubuk Paku di sini, semalam.
Turut hadir Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang juga Anggota Parlimen Maran.
Tengku Abdullah juga menyeru rakyat untuk mengambil iktibar kekacauan yang berlaku di beberapa negara Islam Timur Tengah yang bertelingkahan sesama sendiri kerana tindakan itu merugikan agama.
Pada majlis itu, baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan kepada 200 penduduk sekitar Maran yang memerlukan bantuan dan sumbangan bernilai RM73,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada lima individu yang mengalami kecederaan semasa bekerja. – BERNAMA