BANGKOK – Thailand memperkenalkan aplikasi telefon pintar untuk menarik pelancong Islam bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan negara itu yang terjejas selepas rampasan kuasa tentera pada Mei tahun lalu.
Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) berharap aplikasi itu akan membantu menarik kedatangan pelawat sekali gus memulihkan sektor itu yang menyumbang 10 peratus kepada ekonomi.
Usaha mengalu-alukan kedatangan pelancong Islam ke Thailand juga dibuat berikutan sentimen anti-Islam yang semakin membara di beberapa negara barat.
Aplikasi baharu itu kini boleh dimuat turun di telefon pintar sama ada yang menggunakan sistem operasi Android keluaran Google Inc dan iOS, Apple Inc.
Pemangku Gabenor TAT, Juthaporn Rerngronasa, berkata menerusi paparan carian dan navigasi, ia membantu pelancong mencari hotel dan pusat beli-belah dilengkapi bilik solat serta tempat mendapatkan makanan atau restoran halal.
Dalam kalangan negara bukan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Thailand diberi kedudukan kedua popular buat pengunjung Islam untuk dilawati di dunia selepas Singapura oleh Indeks Pelancongan Islam Global 2015.
“Kami percaya ini kerana kami memiliki pelbagai produk dan perkhidmatan sesuai buat pelancong Islam,” kata Juthaporn.
Aplikasi itu boleh diperoleh dalam bahasa Inggeris dan Thailand namun akan dikembangkan kepada bahasa Arab dan Indonesia.
Thailand mengunjurkan kedatangan 29.5 juta pelancong tahun ini, meningkat 19 peratus berbanding tahun 2014. – Reuters