Kuala Lumpur – Seorang tukang gunting rambut ditemui mati terbaring di lantai kedainya selepas dipercayai bergelut dan dipukul penyerangnya.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam kelmarin, mangsa yang dikenali sebagai Sarjeet Singh yang juga warga India ditemui mati di premis di Jalan Bukit Bintang di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, suspek yang juga warga Pakistan ditahan sejurus kejadian bunuh itu dilaporkan kepada polis.
Menurutnya, mangsa ditemui maut selepas bertengkar dengan suspek yang juga kakitangan sebuah hotel berhampiran.
“Polis menerima laporan suspek melarikan diri ke hotel berhampiran sejurus selepas kejadian.
“Anggota kami terus menangkap suspek yang berada di tangga hotel itu. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,†katanya.
Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan di antara mangsa dengan suspek sebelum kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman bagi membantu siasatan,†katanya.
Sementara itu seorang pelanggan kedai itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad, 35, berkata, dia kerap ke premis itu untuk menggunting rambut.
Menurutnya, mangsa tukang gunting yang peramah dan gemar bergurau.
“Saya mengenali mangsa sejak dua tahun lalu dan menggunting rambut di kedainya setiap bulan.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Ada orang memberitahu melihat mangsa bergaduh dengan seorang lelaki di dalam kedai itu hingga menyebabkan cermin premis pecah,†katanya. – myMetro Online