HANOI – “Kami menunggu selama 14 hari di laut sebelum berjaya merampas kapal tangki MT Orkim Harmony,†akui Ruslan, 61 tahun; ketua kumpulan lanun yang berasal dari Anambas, Pulau Natuna, Indonesia.
Dia membuat pengakuan secara terbuka itu kepada Kolonel Le Van Minh, Komander Pengawal Pantai Wilayah 4, yang berpangkalan di Kien Giang, Vietnam yang dipetik sumber berita tempatan, VNExpress News.
Ruslan yang mengaku mempunyai 13 anggota kumpulan profesional itu mendakwa, mereka sudah bersiap siaga untuk merampas kapal tangki berkenaan ketika ia masih lagi berada di perairan Malaysia.
Menurutnya, lapan daripada mereka termasuk Ruslan menyerbu masuk ke kapal berkenaan dengan bersenjata parang dan pistol manakala selebihnya ditugaskan untuk mencari pembeli minyak petrol terbabit.
Kumpulan lanun itu didakwa sudah membuat perancangan awal dengan menggunakan sebuah kapal tunda mengekori kapal MT Orkim Harmony ketika berlayar dari Singapura ke Pelabuhan Tanjung Sedili, Johor.
Sebaik waktu malam, beberapa individu mengejar MT Orkim Harmony menggunakan bot laju sebelum membantu Ruslan bersama tujuh lagi ahli kumpulan yang lain naik ke kapal tangki itu dengan membawa pistol dan parang.
Menurut laporan Biro Maritim Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia, sekumpulan lelaki bersenjata menawan kapal tersebut 14 kilometer di barat daya Pulau Aur berhampiran Mersing, Johor pada 11 Jun lalu.
“Mereka segera membawa bersama-sama dengan semua krew sebagai tebusan, mengubah arah laluan perjalanan kapal dan memindahkan minyak dari kapal tersebut,” menurut laporan itu.
Sebelum meninggalkan kapal tersebut, kumpulan itu mencuri barangan yang terdapat di dalam kapal dan juga milik krew serta merosakkan sistem radio di kapal seterusnya berlayar ke pelabuhan yang selamat.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia percaya kapal tangki MT Orkim Harmony dirompak oleh kumpulan lanun profesional yang pernah terlibat dalam beberapa siri rompakan kapal dagang antarabangsa.
Siasatan juga mendapati sebanyak 13 anggota kumpulan lanun terlibat dalam rompakan tersebut dengan lapan orang menaiki kapal, manakala lima lagi menaiki bot tunda yang digunakan untuk merapati kapal tersebut.
Kumpulan itu amat profesional kerana mengetahui selok-belok mengenai operasi kapal termasuk menggunakan peralatan perhubungan yang canggih dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. – Agensi/Mynewshub/HAA