IPOH – Malaysia akan mengadakan ulang tahun pertama memperingati tragedi nahas pesawat penerbangan MH17 yang ditembak jatuh dari ruang udara di timur Ukraine, pada bulan depan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet Rabu depan untuk tindakan lanjut.
Liow berkata selain Malaysia, Belanda dan Australia turut mengadakan ulang tahun itu di negara masing-masing.
“Belanda akan mengadakan ulang tahun memperingati tragedi MH17 pada 17 Julai manakala Australia akan turut mengadakan ulang tahun itu pada bulan yang sama,” katanya kepada pemberita pada Program Senaman Pagi Yoga di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bercham di sini, hari ini.
Beliau berkata Malaysia Airlines (MAS) juga sedia menanggung perbelanjaan keluarga mangsa tragedi itu yang ingin menghadiri sambutan ulang tahun di Belanda.
Mengenai Laporan Interim yang disediakan pasukan penyiasatan keselamatan terhadap tragedi itu, Liow berkata ia sepatutnya dikeluarkan sebelum ulang tahun nahas berkenaan.
“Mereka (pasukan penyiasat) perlu menganalisis kejadian itu. Rakyat ingin tahu kebenarannya, siapa yang menembak jatuh pesawat MH17,” katanya.
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. – BERNAMA