KOTA KINABALU – Presiden Persatuan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau meminta pemimpin DAP Sabah mengemukakan bukti kukuh berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap para pegawai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang dipertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Katanya, DAP tidak sepatutnya membuat tuduhan tanpa bukti ketika para petugas ESSCom sedang berhempas pulas menyusun strategi untuk mengekang jenayah penculikan daripada berulang dengan menggunakan semua aset sedia ada.
“Semua rakyat Sabah termasuk para pemimpin politik seharusnya bersatu untuk membantu ESSCom menjayakan misi murni kerajaan untuk menjaga keselamatan di zon ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Madius berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong yang menuduh secara keterlaluan terhadap ESSCom dan berhubung peruntukan lebih RM600 yang disiarkan menerusi portal berita Roketkini, Khamis lepas.
Jimmy yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu juga dipetik sebagai mendakwa ESSCom turut menerima rasuah daripada pekerja asing semasa operasi bersepadu yang melibatkan pelbagai kerajaan negeri dan persekutuan yang diterajui ESSCom.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran meminta DAP membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan serius itu.
“Kalau DAP ada bukti, kenapa tidak menyerahkan bukti tersebut kepada pihak SPRM? … Saya risau tuduhan melulu seumpama ini boleh melemahkan semangat anggota keselamatan di perbatasan,” katanya.
Sementara itu, Madius mengulangi gesaannya supaya kerajaan persekutuan menghantar aset-aset yang sangat diperlukan ESSCom terutama bot dan helikopter yang boleh beroperasi pada waktu malam.
Madius juga meminta pihak keselamatan mempertingkatkan kemampuan risikan untuk menangani ancaman termasuk penculikan.
Pada 29 Mei lepas, Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) Mohd Zaki Harry Susanto turut membidas kenyataan Jimmy yang memperlekehkan peranan ESSCom.
ESSCom ditubuhkan pada 1 April 2013, ekoran pencerobohan pengganas di Tanduo Lahad Datu, bagi menyelaras operasi agensi keselamatan dan pertahanan di ESSZone. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=zZ7Uj0FzNMU