KANGAR – Seorang wanita rakyat Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah mengedar 407.5 gram kanabis dua tahun lepas oleh Mahkamah Tinggi Kangar pada Isnin.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan kes membabitkan Rohanee Subakoye, 37, dari Selatan Thai melangkaui keraguan munasabah.
Rohanee yang mengambil upah menoreh getah di Changlun, kira-kira 30 kilometer dari sini, didakwa melakukan kesalahan itu di pintu masuk Pos Imigresen Wang Kelian kira-kira pukul 2 petang, 28 Jan 2013.
Ibu empat anak itu hanya mampu mengangguk kepala apabila jurubahasa membacakan keputusan mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Mohd Khairuddin Idris menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili Rabiatul Adawiah Ramli, Nor Farishah Mohammad Bahar dan Fatin Hayati Abdul Rahman. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=-zzyB-rfD6w