MUSLIM Imran telah menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan di Malaysia sejak 12 tahun lalu.
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia ini begitu tersentuh dengan keramahan yang ditunjukkan rakyat Malaysia kepadanya.
Namun beliau merasai satu kekesalan.
“Saya inginkan keluarga saya berada di sini untuk menyambut Ramadan bersama saya, tetapi kami (rakyat Palestin) tidak dapat pulang kepada orang tersayang kami kerana kesukaran yang dicetuskan pihak Israel,” katanya.
Muslim berkata, proses imigresen yang dikenakan Israel menghalang kepulangannya ke tanah air sendiri.
Fikirannya sentiasa teringatkan keluaragnya di Palestin setiap kali beliau melihat masyarakat Islam Malaysia berbuka puasa bersama keluarga masing-masing dan orang tersayang sama ada di rumah atau restoran.
Perasaan sunyi mula menyelubungi dirinya.
Namun Muslim mengaku kemesraan rakyat Malaysia membuatkannya melupakan perasaan duka.
Turut merasakan Malaysia seperti rumah sendiri ialah pegawai perhubungan awam swasta dari Eritria, Othman Abdul Aziz, 30, yang telah berada di negara ini sejak lima tahun lalu.
“Saya memang tersangat rindukan ibu dan rakan-rakan saya, tetapi disebabkan kerja, saya terpaksa korbankan masa saya bersama mereka.
“Namun suasana Ramadan di Malaysia sangat mengujakan kerana setiap orang berkumpul bersama sebagai satu keluarga besar untuk menikmati bulan penuh bermakna ini,” katanya.
Othman mengaku menjalani bulan puasa boleh menjadi “sunyi dan kejam” tanpa keluarga, tetapi layanan mesra rakyat Malaysia dapat mengubat rasa rindu terhadap kampung halamannya.
“Saya mula menyukai tinggal di sini dari setahun ke setahun. Rakyat Malaysia sentiasa sedia membantu dan sering menjemput saya dan rakan-rakan saya ke majlis iftar (berbuka puasa),” katanya.
Pelajar kejuruteraan dari Syria, Mohammad Abdullatif, 29, sentiasa menantikan kedatangan Ramadan di Malaysia kerana baginya terdapat pelbagai jenis makanan semasa berbuka yang boleh dinikmati.
“Bagi saya, makanan di sini terutama semasa Ramadan sangat hebat kerana saya boleh mendapat makanan kegemaran saya seperti martabak dan nasi lemak,” katanya.
– BERNAMA