JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut dipercayai terjatuh dari tingkat 11 sebuah blok di Flat Awam Larkin, di sini, pagi kelmarin.
Lelaki yang dikenali sebagai Tan Ching Oo @ Tan Kian, 76, ditemui berdekatan tempat pembuangan sampah blok itu dengan keadaan kepala pecah.
Seorang peniaga Hassan Abas, 54, berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat kira-kira jam 9 pagi, sebelum anaknya menjerit menyatakan seseorang terjatuh dari tingkat atas.
Menurutnya, dia yang bergegas ke lokasi kejadian terkejut mendapati pelanggannya sudah cedera parah terutama di bahagian kepala.
“Saya nampak seorang lelaki yang juga pelanggan saya sudah jatuh di kaki lima dengan keadaan kepalanya pecah.
“Melihat keadaannya yang agak teruk, saya percaya ketika jatuh, badannya terlanggar atau tersangkut beberapa barang seperti antena televisyen dan penyangkut baju sebelum terhantuk zink dan tembok batu,†katanya.
Hassan berkata, mangsa selalu berkunjung ke kedainya, namun tidak pernah mengetahui masalah dialami warga emas itu.
Menurutnya, mangsa ada memberitahu isterinya mahu keluar ke pasar, namun tidak lama kemudian ditemui jatuh dipercayai dari tingkat sebelas.
“Insiden ini amat mengerikan terutamanya buat beberapa pelanggan saya dan kedai makan sebelah kerana ia berlaku di depan mata kami,†katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan kejadian terbabit. – Sinar Harian Online
https://www.youtube.com/watch?v=aw_INmA0s2g