PERTANDINGAN tahunan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2015 kembali lagi tahun ini buat kali kelapan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Seperti tahun-tahun sebelumnya, PABM 2015 dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Peringkat Saringan, Separuh Akhir dan Akhir.
Menerusi Peringkat Saringan ia dibahagikan kepada dua pusingan iaitu Pusingan I dan Pusingan II.
Setiap peserta akan menyampaikan pidato mereka sebanyak dua kali pada peringkat saringan di hadapan panel juri yang berbeza bagi memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki sebarang kelemahan.
Seramai 10 peserta terbaik daripada kategori Antarabangsa di pusingan suku akhir layak ke pusingan separuh akhir manakala 10 peserta terbaik daripada kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) dan lima orang peserta terbaik daripada kategori Alam Melayu di pusingan awal layak ke pusingan separuh akhir.
Seterusnya, tiga peserta terbaik dari kategori Antarabangsa, Kategori PAM dan Kategori Alam Melayu di pusingan separuh akhir akan layak ke pusingan akhir yang akan diadakan pada 7 Ogos ini di Dewan Plenari, PICC.
Sebanyak 10 tajuk telah dipilih oleh pihak penganjur untuk para peserta memberikan hujah-hujah bagi menyokong pernyataan mereka.
Antara topik-topik yang bakal didengari pada PABM 2015 adalah Peranan Mahasiswa, Keamanan Dunia, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Pembangunan Ekonomi, Kepelbagaian Budaya, Kepentingan Pendidikan, Kerjasama Antara Negara, Kepentingan Bahasa, Perpaduan dan Komuniti ASEAN 2015.
Pertandingan akhir itu nanti akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV1.- MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHARÂÂ