KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Pahang mengenal pasti tiga laluan panas di negeri ini yang menjadi lokasi utama menyeludup pelbagai barangan termasuk mercun, bunga api, beras, rokok dan minuman keras.
Pengarahnya Datuk Sarip Ismail berkata laluan yang berisiko itu merupakan sempadan Pahang dengan Terengganu, laluan Endau-Rompin dan jalan Kuala Lipis-Gua Musang (Kelantan).
“Bagi membanteras kegiatan penyeludupan itu, operasi penguatkuasaan dan sekatan jalan raya akan dilakukan di samping serbuan, pemeriksaan outlet dan rondaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi sekatan jalan raya di Jalan Gambang-Muadzam Shah, Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran Kampung Pulau Manis, di sini, Rabu malam.
Selain itu, katanya laluan Gambang-Segamat juga menjadi antara laluan yang digunakan untuk tujuan itu.
“Sempena musim perayaan ini, kita akan membuat operasi di bazar Ramadan bagi memastikan orang ramai tidak membeli bunga api atau mercun, sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.
Kastam Pahang juga akan mengadakan operasi sekatan jalan raya di Temerloh dan Bentong dalam masa terdekat, katanya.
Sarip juga menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan agar menghubungi Kastam di talian bebas tol di 1-800-88-8855 atau Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pahang di 09-5052888 (Kuantan), 09-2201212 (Bentong) dan 09-2864263 (Temerloh).
Mengulas mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Sarip berkata pihaknya mendapat kebenaran untuk mendakwa sebuah daripada 70 syarikat yang lewat membuat pendaftaran atau melakukan kesalahan lain berkaitan pelaksanaan cukai baharu ini.
“Kita juga menerima dua kes di Kuantan yang melibatkan syarikat tidak mendaftar untuk GST, tetapi mengenakan cukai itu,” katanya. – BERNAMA