SEREMBAN – Dua penunggang dan dua pembonceng motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Kuala Pilah dan Rembau, semalam.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian di KM32, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Kuala Pilah pada kira-kira 5.45 petang itu, Muhamad Hazany Zham Hazmy, 17, dan pemboncengya, Ahmad Nor Asri Mohd Nor, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Kemalangan ini dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban kerana hendak balik ke Kampung Talang.
“Penunggang dipercayai cuba untuk memotong kenderaan yang berada di hadapan, namun gagal, lalu melanggar sebuah kereta dari arah sama. Kereta Perodua Myvi tersebut bagaimanapun meninggalkan tempat kejadian selepas kemalangan itu,” katanya di sini, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk bedah siasat dan pihak polis sedang mengesan Perodua Myvi terlibat.
Sementara itu, dalam kemalangan di KM20.5 Jalan Seremban-Tampin, Rembau, seorang penunggang motosikal, L.T. Harwind Raj, 21, dan pemboncengnya S. Tamilvani, 18, maut setelah motosikal yang mereka naiki bergesel dengan sebuah kenderaan lain.
Dalam kejadian pada kira-kira 7 malam itu, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin sebelum motosikal yang dinaiki mereka dipercayai bergesel dalam keadaan cuaca hujan lebat, jalan licin dan basah.
Akibat pergeselan tersebut, kedua-dua mangsa melambung dan tercampak lalu terjatuh di laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan ASP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kes kemalangan itu dan berkata polis kini sedang mengesan kenderaan lain terlibat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=GTVYVfcE7OY