KANGAR – Seramai 913 petani mangsa banjir tahun lepas bersyukur apabila menerima wang ehsan berjumlah RM1.1 juta daripada kerajaan persekutuan menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Koridor dan Kawasan Pertumbuhan dan Bandar Baru, Datuk Sabry Ahmad berkata daripada jumlah itu, 435 penerima adalah petani di bahagian utara Perlis dan di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima sejumlah RM655,842.
Bakinya pula membabitkan petani kawasan MADA di Perlis Selatan, katanya selepas mewakili Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man menyampaikan sumbangan itu di Dewan Melati, Alor Tampang, dekat sini hari ini.
Menurut Sabry, para penerima tersebut merupakan penanam padi, sayur, pengusaha kebun buah-buahan serta penternak haiwan dan ikan menerima antara RM250 hingga RM5,800 seorang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali yang turut hadir berkata mangsa-mangsa banjir tersebut terlibat dengan bencana pada November dan Disember tahun lepas.
Katanya bancian kerugian para petani terbabit dilakukan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. – BERNAMA