KANGAR – Bekalan ayam dan daging untuk keperluan Hari Raya Aidilfitri di Perlis dijamin mencukupi pada harga terkawal, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Ahmad Bakri Ali.
Menurutnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membuat persediaan bagi memastikan bekalan mencukupi bagi mencegah harga barangan keperluan naik menjelang sambutan Aidilfitri.
Beliau yang dihubungi Bernama hari ini berkata FAMA akan menggerakan semua 32 pasar tani di seluruh negeri untuk mengadakan jualan khas Aidilfitri.
Pasar Tani Mega akan beroperasi setiap hari di tapak Pasar Tani Taman Sena Indah di sini dari 11 Julai hingga 16 Julai bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan keperluan mereka, katanya.
Ahmad Bakri berkata kira-kira 50,000 ekor ayam dan lebih 30 ekor lembu disediakan untuk dijual kepada pengguna sepanjang jualan Pasar Tani itu. – BERNAMA