KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama bergerak perlahan setakat 2 petang dan dijangka semakin sesak dengan pertambhan kenderaan sehingga 20 peratus pada lewat petang.
Ini berikutan ramai warga kota mulai pulang selepas bercuti di kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berkata trafik perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara mulai Permatang Pauh menuju Perai, Juru ke Bukit Tambun, Bukit Merah ke Taiping dan Changkat Jering ke Bukit Berapit.
Aliran trafik juga perlahan sebelum Terowong Menora menuju Ipoh, dari Jawi ke Bandar Baru, Tapah ke Bidor, Bidor ke Slim River dan Simpang Pulai ke Gua Tempurung, katanya kepada Bernama.
Bagi arah selatan, trafik dilaporkan sibuk dari Pedas Linggi menuju Senawang dan dari Seremban ke Nilai.
Sementara itu jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pertambahan kenderaan menyebabkan aliran trafik perlahan di Plaza Tol Kuala Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur 2 serta Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Trafik juga perlahan dari Bentong ke Genting Sempah, katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA