KUANTAN – Menempuh perjalanan penuh liku selama lebih sebulan termasuk menumpang lori kargo untuk melarikan diri dari kampung halaman dan akhirnya bertemu ibu dan bapanya di Pulau Pinang, itu antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan, seorang anak pelarian etnik Rohingya, Shobirahman Amir Hossin.
Namun, kepayahan itu tidak mematahkan semangat Shobirahman, 18 tahun dan dua kakaknya demi untuk bertemu ibu dan bapanya serta mengharapkan sinar kehidupan baharu di bumi Malaysia setelah hidup dalam penindasan di Myanmar.
Shobirahman yang kini bersekolah di Rohingya Education Centre (REC) di Indera Mahkota, dekat sini berkata kehidupan di tempat asalnya di Narekoh, Rakhine, Myanmar berbanding di sini amat jauh berbeza.
“Ketika itu tahun 2008, saya berumur sembilan tahun, ibu dan ayah sudahpun berhijrah ke Pulau Pinang, mereka membayar sejumlah wang kepada pihak tertentu untuk membawa keluar saya dan dua kakak dari kampung halaman kami kerana keadaan di situ sudah tidak selamat bagi kami dan umat Islam yang lain,” katanya ketika ditemui Bernama.
Katanya, jika di sini beliau bebas untuk ke masjid, bersekolah atau pergi kemana-mana sekalipun tanpa sebarang sekatan, kehidupan sebagai etnik Rohingya di kampung halamannya pula sangat perit kerana mereka ditindas sepanjang masa oleh pihak berkuasa Myanmar.
“Jika di sana etnik Rohingya dilarang sama sekali menjejakkan kaki ke masjid, jika didapati pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah polis akan tembak. Kita juga tak boleh keluar dari kampung, jika didapati keluar, juga kena tembak dengan polis,” katanya.
Katanya, pelbagai hak asasi sebagai manusia juga dinafikan, termasuk tidak dibenarkan bersekolah, walhal katanya anak-anak Rohingya adalah sangat cerdik dan ramai daripada kalangan mereka yang berjaya membina hidup baru kini menjadi golongan profesional seperti doktor, jurutera dan usahawan.
“Golongan dewasa pula tidak dibenarkan keluar bekerja dan mencari wang. Malah untuk membina rumah sekalipun sangat sukar. Ibu saya pernah dipukul oleh pihak polis ketika membeli kayu untuk membina rumah kami.
“Dan bermula saat itu ibu dan ayah bertekad keluar dari kampung dan berhijrah ke Malaysia sebelum membawa saya dan dua kakak saya keluar dari kampung selepas mendapat tahu kami diganggu oleh ketua kampung yang beragama Budhha,” katanya.
Kehidupan Shobirahman sekeluarga kini semakin selesa selepas tinggal bersama ibunya yang bekerja di sebuah pasar raya di Kuantan bersama dua lagi adiknya.
Bercita-cita mahu menjadi seorang jurutera, Shobirahman kemudian dilihat terdiam seketika ketika ditanya sama ada masih mahu pulang ke kampung halamannya di Narekoh.
Anak muda itu kemudian menjawab: “Sudah tentu saya ingin pulang, kawan-kawan saudara mara saya semuanya masih di sana, saya doakan agar keadaan di kampung halaman saya akan bertambah baik, dan berharap dapat pulang ke sana suatu hari nanti,” katanya.
Dalam pada itu guru besar REC, Amran Talib@Talip berkata, anak-anak pelarian Rohingya amat memerlukan peluang pendidikan dalam menentukan masa depan mereka agar dapat membina kehidupan yang lebih baik.
Katanya mereka didapati sangat cerdik dan mudah menerima pelajaran yang diajar oleh guru-guru meskipun ada di antara mereka yang hanya mendapat pendidikan agama di madrasah dan mengalami masalah bahasa.
Namun katanya, ada di antara mereka memerlukan kaunseling di sekolah kerana terdapat segelintir dalam kalangan mereka yang trauma kesan daripada kisah-kisah kejam dan zalim pemerintah Myanmar terhadap keluarga mereka dan rakan-rakan di bumi Rakhine.
“Ini menjadikan mereka anak-anak yang bersifat ‘defensive’, macam nak mempertahankan diri. Saya dan guru-guru pernah menangkap murid-murid yang berumur bawah 12 tahun kerana membawa senjata buatan sendiri ke sekolah dengan alasan untuk ‘mempertahankan diri’ dari ditembak oleh pihak polis,” katanya.
Beliau yang kesal dengan kejadian tersebut kemudian meminta bantuan guru-guru di pusat tersebut agar sentiasa memberi dorongan dan nasihat kepada murid-murid bahawa mereka tidak perlu bertindak demikian kerana negara ini aman dan tiada siapa yang boleh menindas mereka lagi di sini.
REC Kuantan diwujudkan oleh sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan iaitu Jaringan Global Masa Depan (FGN), mendapat pembiayaan daripada Yayasan Albukhary dan dipantau oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Mempunyai 130 pelajar, anak-anak pelarian Rohingya pelbagai peringkat umur, merangkumi kanak-kanak daripada empat kampung di Kuantan, iaitu Kampung Seberang Balok, Kampung Selamat, Kampung Permatang Badak dan Kampung Kurnia, pengajian di REC menggunakan kokurikulum sekolah kebangsaan dan guru yang mengajar juga dalam kalangan rakyat tempatan. – BERNAMA