TANGGAL 13 Julai lalu, Mat Sabu dan rakan-rakannya yang digelar puak progresif dalam PAS bertindak mengumumkan penubuhan sebuah kumpulan yang diberi nama Gerakan Harapan Baru (GHB), kononnya beralaskan tuntutan untuk menggerakkan kerjasama politik dengan lain-lain pembangkang demi memperjuangkan nasib rakyat.
Tindakan tersebut dibuat setelah PAS mengambil keputusan menoktahkan hubungan dengan DAP, sekaligus menjadi punca utama berkuburnya Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pasca Pilihan Raya Umum ke-12 pada April 2008.
Mat Sabu & The Gang Tubuh Gerakan Harapan Baru
Dalam perkembangan terkini mengenai kumpulan tersebut, ia dikatakan bakal menjadi sebuah parti politik secara sah pada 14 September depan. Perkara tersebut diumumkan bekas pemimpin kanan PAS yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad beberapa hari lalu.
Namun yang menjadi persoalan di benak ramai, andainya cita-cita melangit pemimpin G18 tersebut untuk menjadi parti serpihan dari PAS benar-benar menjadi kenyataan, berapa lamakah mereka mampu bertahan?
Bukan ingin menidakkan azam Mat Sabu dan rakan-rakannya untuk memperjuangkan Islam bersama DAP dan PKR demi rakyat, namun sejarah menunjukkan bahawa parti serpihan seperti ini tidak akan bertahan lama!
Kalau disingkap kronologi sebelum ini, PAS pernah menghadapi krisis besar pada 1978 di Kelantan akibat kerjasamanya dalam Barisan Nasional (BN) berantakan sehingga parti itu mengambil keputusan untuk mengundur diri.
Bukan itu sahaja, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Muhamed Nasir turut dipecat dari kerusinya, dan ia menyebabkan pemimpin berkenaan bertindak menubuhkan parti baru iaitu Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia atau (BERJASA).
Sayangnya, penubuhan BERJASA yang wujud akibat ‘amarah’, hanya diibaratkan seperti melukut di tepi gantang dan kewujudan mereka tidak memberi impak ketara dalam senario politik negara.
Selain BERJASA, satu lagi parti serpihan daripada PAS pernah ditubuhkan iaitu Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Ia wujud pada 23 Mac 1983 setelah mantan Presiden PAS ketika itu, Tan Sri Asri Muda bertindak meninggalkan PAS sebulan sebelumnya.
Hampir sama seperti BERJASA, HAMIM turut terumbang-ambing dalam radar politik. Pada mulanya, mereka bertindak untuk bekerjasama dengan BN sebelum keluar gabungan pada 1989 untuk menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Sepanjang kewujudan kedua-dua parti tersebut, ramai yang tertanya-tanya, apakah sumbangan besar BERJASA dan HAMIM terhadap sistem politik? Lantas, mereka mengaitkannya dengan kewujudan Harapan Baru dan untung nasib kumpulan tersebut dalam Pakatan Rakyat 2.0 selepas ini.
Anwar Ibrahim Umum Pakatan Baru Akan Muncul Tak Lama Lagi
Kalau dilihat pada permulaan perjalanan GHB, ia dikatakan tidak berjalan selancar yang dirancang kerana tarikh penubuhannya sebagai sebuah parti telah ditunda banyak kali.
Memetik kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar A Samad, parti tersebut dirancang akan ditubuhkan pada pertengahan Ogos depan, namun ditunda sehingga awal September. Terbaharu, ia sekali lagi dianjak sehingga pertengahan September pula.
Lebih memilukan, menurut Iskandar yang dipetik dari Malaysiakini, tindakan tersebut diambil kerana GHB tidak mendapat sokongan rakyat!
Seandainya ia benar, maka jelas situasi tersebut menunjukkan Mat Sabu dan rakan-rakannya tak berani mengamalkan pepatah orang dulu-dulu, ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’…
Apa yang penting, situasi yang melanda pembangkang ketika ini menunjukkan secara jelas bahawa mereka gagal untuk bekerjasama dengan baik antara satu sama lain, serta tidak mampu menguruskan masalah dengan terurus.
Senang cakap, macam mana nak urus negara kalau masalah dalaman parti sendiri pun tak mampu diurus dengan baik sehingga sanggup khianat dan menubuhkan satu parti lain. Alahai… – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Gerakan Harapan Baru Tak Ubah Apa-Apa – Tuan Ibrahim
https://www.youtube.com/watch?v=uOfvKcTVhSY